SHAH ALAM – Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Bangi dari PAS, Mohd Shafie Ngah dipilih sebagai Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor yang baharu.
Pemilihan itu dibuat menerusi undian sulit dan keputusannya diumumkan Speaker DUN Selangor, Hannah Yeoh pada mesyuarat ketiga penggal kedua sidang dewan yang bermula hari ini.
Mohd Shafie menerima 28 undi berbanding 14 undi yang diperoleh Adun Sekinchan, Ng Suee Lim dari DAP yang turut dicalonkan untuk jawatan itu.
Ketua Pembangkang DUN Selangor Datuk Mohd Shamsudin Lias berkata semua 12 Adun Barisan Nasional mengambil sikap berkecuali dan tidak mengundi.
Kerusi timbalan speaker kosong berikutan penyandangnya Adun Seri Setia, Nik Nazmi Nik Ahmad dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) meletak jawatan bagi membolehkan beliau dilantik sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor (Exco).
Pada sidang kali ini, Menteri Besar Mohamed Azmin Ali akan membentangkan Bajet Negeri 2015, kali pertama selepas dilantik ke jawatan itu pada 23 Sept lepas. – BERNAMA