SHAH ALAM – Semua 12 Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional Selangor menolak peruntukan RM200,000 setahun yang diberi oleh kerajaan negeri dalam Belanjawan 2015 yang dibentangkan pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Isnin.
Ketua Pembangkang Selangor Datuk Mohd Shamsudin Lias berkata mereka menolak peruntukan itu kerana mempersoalkan keikhlasan kerajaan negeri yang memberi peruntukan RM700,000 setahun kepada setiap ADUN Pakatan Rakyat.
“Kami ADUN BN menyifatkannya satu bentuk penghinaan terhadap wakil rakyat yang dipilih oleh rakyat. Apa beza kami dengan ADUN PKR, PAS dan DAP kerana kami juga dipilih oleh rakyat dalam pilihan raya.
Sepatutnya, Menteri Besar meletakkan prinsip keadilan ketika menyalurkan bantuan ini,” katanya pada sidang media selepas membahaskan Belanjawan Negeri 2015 pada persidangan DUN di sini pada Selasa.
Pada Isnin, Menteri Besar Mohamed Azmin Ali ketika membentangkan Belanjawan Negeri 2015 berjumlah RM2.4 bilion mengumumkan peruntukan RM200,000 setahun itu kepada setiap ADUN BN, mulai tahun hadapan.
Mohamed Azmin berkata peruntukan berjumlah RM2.4 juta yang diberi kepada 12 ADUN BN itu adalah bagi membolehkan mereka melaksanakan program mesra rakyat, selain memastikan semua wakil rakyat tanpa mengira parti politik dapat bersama-sama berkhidmat kepada rakyat.
Bagaimanapun, peruntukan bagi ADUN Pakatan Rakyat untuk tujuan program mesra rakyat ditambah RM100,000, menjadikannya RM700,000 setahun.
Terdahulu, Mohd Shamsudin ketika membahaskan belanjawan itu menegur langkah kerajaan Selangor yang kononnya membentangkan bajet berimbang setiap tahun, namun pada akhirnya memohon belanjawan tambahan pada sidang dewan seterusnya.
Beliau berkata kerajaan negeri Pakatan Rakyat membentangkan bajet defisit sejak 2009 sehingga bajet 2015 yang mencatat defisit RM450 juta.
Beliau juga mempertikaikan peranan Penasihat Ekonomi Selangor Datuk Seri Anwar Ibrahim yang didakwa tidak memberikan sumbangan besar bagi meningkatkan kemajuan ekonomi negeri. – BERNAMA