
KABUL – Kementerian Penerangan dan Kebudayaan Afghanistan pada 3 November menyekat sebarang iklan yang memaparkan wanita secara berlebihan sebagai model promosi produk atau perkhidmatan komersial di negara itu, lapor agensi berita AFP.
“Semua iklan wanita sebagai hiasan atau fesyen menjadi alat untuk menarik wang sebenarnya merendahkan martabat wanita Afgan sendiri. Kami minta media untuk elak komersial yang terlalu promosi keruntuhan budaya dan menyebabkan gejala sosial,†kata kenyataan kementerian.
Papan iklan dan komersial menerusi siaran televisyen daripada promosi telefon bimbit sehinggalah pelan insurans naik mendadak sejak kejatuhan rejim Taliban pada 2001 dan Afghanistan mula membuka pintu ekonomi kepada pelabur antarabangsa.
Banyak iklan bagaimanapun menunjukkan wanita muda sebagai bahan pelaris dan pemerintah Afghanistan mendakwa model wanita tidak sepatutnya dieksploitasi keterlaluan untuk tujuan komersial di negara yang masih berpegang kepada fahaman konservatif itu.
Semasa pemerintahan kejam Taliban dari 1996 sehingga 2001, Afghanistan menutup semua pengaruh Barat termasuk mengharamkan televisyen dan wanita dilarang keluar rumah tanpa memakai jubah tradisional tempatan atau burqa.
Namun Presiden Hamid Karzai yang memegang kuasa kemudian mula lebih terbuka dalam polisi pentadbirannya dengan sedikit kawalan dan dasar itu masih diteruskan presiden baharu, Ashraf Ghani yang mengambil alih pemerintahan pada September lalu. – AFP/CNA
— AMREE AHMAD