Akta Hasutan 1948 yang diputuskan untuk dikekalkan adalah benteng untuk mempertahankan semua bangsa di Malaysia dan bukan sahaja orang Melayu serta bukan untuk mengekalkan kuasa UMNO di negara ini.
Perkara itu ditegas Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia mengulas keputusan mengekalkan akta berkenaan yang diumumkan Presiden UMNO Datuk Seri Najib Tun Razak dalam ucapan dasarnya pagi tadi.
“Akta Hasutan adalah satu perundangan yang bukan hanya untuk orang Melayu tetapi perisai untuk semua rakyat Malaysia.
BACA – Akta Hasutan 1948 Akan Dikekal Dan Diperkuat
“Bukan satu akta untuk kekalkan kuasa UMNO tetapi untuk melindungi semua, Melayu, Cina, India, Dayak, Kadazan semua untuk pastikan kita hidup dalam harmoni,” katanya kepada Mynewshub.cc hari ini.
Sementara itu, mengulas mengenai perbuatan pemimpin Pakatan Rakyat (PR) menggelarkan beliau sebagai rasis, Khairy yang juga Menteri Belia dan Sukan berkata pihaknya hanya bercakap apa yang perlu dicakapkan dalam Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2014 tanpa perlu meminta maaf kepada mereka.
“Kita cakap apa yang perlu kita cakap pada PAU 2014, tak perlu kita jelaskan, tak perlu kita minta maaf kepada pembangkang.. Ini agenda kita.
“Cuma saya harap bahawa mereka yang cepat untuk memberi label dan sebagainya, baca sepenuhnya ucapan saya dan jangan hanya baca pada headlina atau satu dua ayat sahaja, baca sepenuhnya,” kata Khairy.
http://youtu.be/miLnr97h6lI
Khairy berkata demikian ketika ditemui Mynewshub.cc selepas mengadakan pertemuan dengan Kelab UMNO Luar Negara di bilik Kuala Lumpur di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) sempena PAU 2014.
Pada pertemuan berkenaan Khairy menjelaskan beberapa polisi parti dan mendengar cadangan daripada ahli kelab yang merupakan mahasiswa yang belajar di luar negara untuk memberi ruang kepada mahasiswa menyumbangkan idea dalam UMNO.
“Kita jelaskan polisi parti dan mereka telah memberi cadangan-cadangan bagaimana proses peremajaan parti dapat disegerakan dapat dibuat dengan mengambil kira pandangan daripada generasi muda itu sendiri,” katanya.
Khairy menyifatkan biarpun pertemuan dengan kelab berkenaan diadakan setiap tahun, tahun ini semangat mereka amat tinggi mungkin disebabkan kerap diceritakan berkaitan peremajaan UMNO.
Selepas selesai Najib menyampaikan ucapan dasar pagi tadi, sesi membahaskan ucapan dasar dan perbahasan usul oleh para perwakilan UMNO telah berlangsung sebelum ditangguhkan petang tadi dan akan bersambung esok. – MYNEWSHUB.CC
Oleh : IBNU K | Foto dan Video : RIZA RAZAK