KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, Akta Hasutan 1948 dikekalkan untuk menjamin keharmonian negara, bukannya demi kepentingan kaum bumiputera dan Melayu seperti mana dakwaan yang dilemparkan sesetengah pihak.
Presiden UMNO itu berkata, Akta Hasutan mesti dikekalkan kerana ia merupakan perisai untuk menghalang pelbagai konflik yang dilihat boleh menganggugugat keharmonian negara yang telah dikecapi sejak dari dahulu lagi.
“Kita tak boleh nafikan Akta Hasutan dititikberatkan.  Pindaan pada akta adalah untuk kukuhkan dan kemaskini akta ini yang telah wujud sejak 1948.  Ini perisai kita untuk tidak membiarkan sebarang konflik berlaku.
“Yang penting kita mesti duduk dalam satu negara yang aman dan damai,” katanya dalam sidang media selepas selesai menyampaikan ucapan  penggulungan Perhimpunan Agung UMNO 2014 (PAU 2014) di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini, hari ini.ÂÂ
http://youtu.be/BKsRT6gosr8
Beliau yang juga Perdana Menteri turut tegas mengatakan kerajaan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba memulakan gerakan membawa keluar Sabah dan Sarawak dari Malaysia.
“Kita boleh rundingkan soal royalti dan kuasa tapi soal nak keluar dari Malaysia, that’s unnegotiable (tiada kompromi),” katanya.
Berkenaan PAU 2014, Najib melahirkan berpuas hati dengan kelancaran perjalanan persidangan kali ini yang bukan sahaja membincangkan hal Melayu dan Bumiputera sebaliknya turut membicarakan isu-isu lain berkaitan negara.
“Perhimpunan ini berjalan dengan baik.  Banyak perkara libatkan kepentingan bumiputera dan negara dibincangkan.
“Tindakan selanjutnya akan diambil selepas ini (pelaksanaan) serta untuk terus memperkasakan daya juang ahli UMNO,” katanya.ÂÂ
Terdahulu, Najib dalam ucapannya memetik petikan berita dari akhbar The Sunday Times terbitan 1 September 1957 yang turut dijual di PWTC yang begitu sinonim dengan perjalanan politik negara kini.
“Look to the past with gratitude and look to the future with confidence, kata-kata Almarhum Tunku Abdul Rahman, pada pendapat saya kata-kata ini masih relevan dan masih tepat sehingga pada hari ini.
“Melihat  masa lampau dengan penuh kesyukuran dan memandang masa depan dengan penuh keyakinan dan inilah hasil perjuangan parti keramat parti UMNO,” katanya.
PAU 2014 berlangsung selama lima hari bermula 25 November lalu dan berakhir hari ini dengan sesi penggulungan dibentangkan oleh kesemua ketua sayap parti, Pemuda, Wanita dan Puteri, Naib-Naib Presiden, Timbalan Presiden dan Najib. – MYNEWSHUB.CC
Oleh:  JULIANA JOHAR dan IBNU K | Foto dan Video : RIZA RAZAKÂÂ