Penyanyi sensasi dari Singapura, Aliff Aziz berkata, atas nasihat peguambelanya, dia terpaksa mengakui tuduhan mencuri telefon bimbit yang dihadapinya dan melangsaikan denda kerana tidak mahu kes berlarutan terlalu lama.
Memetik kenyataan pelantun lagu Sayang Sayang itu dari akhbar Harian Metro, “Saya mengaku (mencuri) itu pun dan setuju membayar denda kerana tidak mahu kes itu berlarutan lebih lama. Banyak urusan kerja saya tertangguh.”
Tambahnya lagi, undang-undang di Singapura terlalu ketat dan kes itu akan berlarutan lebih lama dan enggan membazirkan masa.
Ditemui ketika sesi pradengar album terbarunya, Rebirth yang akan berada di pasaran sekitar pertengahan Januari depan, dia juga menjawab pertanyaan tentang kontroversi meninggalkan set penggambaran sebuah drama.
Katanya, “Saya hanya manusia biasa yang tidak sempurna. Jadi, saya mengaku tidak terlepas daripada melakukan kesalahan. Apa yang berlaku kepada saya beberapa bulan lalu cukup mematangkan diri. Banyak lagi yang perlu saya pelajari.”
Pada sesi tersebut juga, Aliff mengambil peluang untuk memohon maaf di atas keterlanjurannya terhadap produksi drama berkenaan.
Dia kini tidak mengambil sebarang tawaran lakonan kerana mahu menfokuskan kepada albumnya. – MYNEWSHUB.CC
Oleh : IZZAT MOHD ANUAR