MAS kini sudah mencapai tahap tenat, daripada berita kerugian sudut bisnes kepada dua episod duka menimpa pesawat syarikat penerbangan negara ini secara berturut-turut, kini aset strategik MAS pula jadi rebutan. Bilalah MAS nak buat pemulihannya?
Pelan pemulihan yang dibentang Khazanah sebelum ini, menyaksikan beberapa pengorbanan perlu dilakukan, sesuatu yang biasa bagi menyelamatkan syarikat yang sedang tenat – antaranya pemberhentian hingga 30 peratus tenaga kerja bagi mengurangkan kos dan memaksimumkan produktiviti.
Justeru apabila Jentayu Danaraksa Sdn Bhd (Jentayu) tiba-tiba muncul bersama hebahan mereka punyai pelan lebih baik termasuk tanpa perlu mengorbankan 6,000 kakitangan sedia ada, sudah tentu ia berhasil mencuri tumpuan umum dan dianggap bagai adiwira oleh Kesatuan Pekerja-Pekerja Malaysia Airlines (MASEU).
Begitu pun, pihak yang mendakwa mampu beri bantuan pernafasan pada MAS terutama sektor swasta perlulah berusaha lebih keras daripada biasa untuk benar-benar meyakinkan bahawa pisang takkan berbuah dua kali jika amanah diberikan kepada mereka.
Maka komen Ahli Parlimen Titiwangsa Datuk Johari Abdul Ghani yang meminta supaya Jentayu menunjukkan bukti kemampuan untuk mengotakan pelan janji mereka termasuk dari segi kemampuan kewangan dan pendedahan siapa penyumbang terbesar kantung kewangan mereka adalah lebih daripada berasas.
Feriz, pengarah urusan Jentayu bagaimanapun nyata kurang senang dengan kenyataan terus terang Johari dan mula mengatakan ini contoh Melayu dengki Melayu.
Senanglahkan, apa sahaja benda yang tidak menepati keinginan diri maka dilabel sebagai Melayu nak jatuhkan Melayu, menjadikan pihak yang bertanya itu nampak macam berhati busuk walaupun niatnya jujur dan ikhlas.
Macam ini ke gaya untuk jadi penyelamat, juga seorang ahli korporat?ÂÂ
Apa yang diluahkan Johari itu adalah juga suara hati rakyat Malaysia yang sayangkan MAS, tak mahu cuma dengar janji-janji muluk sahaja – zaman cakap berdegar-degar mampu buat orang percaya dah lama berakhir.ÂÂ
Namun masalahnya Jentayu ini, walaupun diberikan peluang untuk membentangkan bukti kewangan mahu pun berkongsi pelan hebat mereka secara jelas, jawapan diberikan selalu tersekat-sekat dan penuh dalih. Sudahnya soalan tak dijawab tapi yang bertanya secara ikhlas pula dituduh buat fitnah jahat, dengki dan bermacam lagi.
Perlu diingat, secara dasarnya kes ini mudah sahaja untuk selesai – Jentayu cuma perlu buktikan kekuatan dan kemampuan kewangan mereka, serta pelan yang dicanang begitu hebat untuk membaik pulih MAS seperti mana telah dilakukan dan dibuktikan Khazanah, ITU SAHAJA!ÂÂ
Benar, Jentayu ada bagi bayangan serba sedikit idea mereka termasuk strategi korporat, antaranya melibatkan pengambil alihan 82 pesawat MAS, MAS Engineering dan FireFly tapi berbalik pada isu pokok, adakah mereka punyai dana besar yang dah tersedia untuk menjayakan pelan hebat mereka.
Dari satu sisi lain, sesiapa pun mungkin boleh nampak idea pengambil alihan beberapa operasi MAS seterusnya perbaiki ia agar mengalirkan wang lebih deras. Namun harus diingat, punca utama sakit MAS hari ini bukanlah kesukaran jana pendapatan daripada bisnes penerbangan tapi masalah berlebih-lebih lagi dalam beberapa hal, contohnya ambil pekerja terlebih ramai, bayar pembekal terlampau tinggi dan tetap gigih mahu terbang ke destinasi yang tak ada sambutan sampai membangkrapkan duit syarikat.
Takkan idea penyelesaian bagi masalah ini pun tak boleh dikongsikan dahulu?
Ini tidak.. setiap kali diminta tunjuk pelan pengambil alihan lengkap maka alasan sulit dan bimbang idea dicuri mula diputar. Itu belum minta diperjelas secara meyakinkan bahawa Jentayu benar-benar ikhlas mahu bantu naikkan semula penerbangan negara tanpa niat memperkudakan MAS untuk muncul sebagai entiti baru dunia penerbangan.
Maka seruan buat Jentayu, jika benar-benar sudah sedia dengan pelan pengambil alihan paling cemerlang dan syarikat pun memang punyai kewangan kukuh, janganlah bertagak lagi – bentangkan semua secepat mungkin secara terus kepada rakyat Malaysia yang pasti akan menyokong anda selaku penyelamat lebih baik daripada Khazanah.
Sesungguhnya misi menyelamat MAS adalah sesuatu yang lebih besar daripada projek mega biasa, ia membabitkan imej negara dan kepercayaan rakyat yang dicagarkan kepada syarikat dilantik.
Ini juga adalah urusan serius bisnes bernilai lapan angka, bukan pergaduhan merebut kerusi politik atau gosip dunia hiburan. Jadi sebarang pertikaian seharusnya dijawab bersama sokongan dokumen dan kenyataan secara rasmi bukan menerusi muat naik status ala ‘sentap’ pengarah urusan syarikat di laman Facebook.. alahai, kat situ pun dah nampak kurang profesionalnya. – MYNEWSHUB.CC