KUALA LUMPUR – Banyak masalah di negara ini akan selesai jika semua pihak, terutama anggota Parlimen, memahami dan menghayati Perlembagaan Persekutuan, kata Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Abu Zahar Ujang.
Beliau berkata dengan memahami perlembagaan, anggota Parlimen akan menyedari sumbangan yang perlu diberi bagi memastikan kedaulatan dan keamanan negara terus terpelihara.
Beliau menegaskan Perlembagaan negara perlu dipertahankan bagi memelihara kestabilan politik serta menjamin sikap taat setia rakyat.
“Saya tertanya-tanya sama ada semua wakil rakyat memahami perlembagaan kita… ini amat penting.
“Kalau ini dapat dihayati dengan baik, saya percaya sesetengah masalah kita akan selesai,” katanya ketika melancarkan buku bertajuk ‘Evolusi Parlimen dan Evolusi Speaker Parlimen Malaysia Edisi Kedua’ di sini, hari ini.
Turut hadir, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar yang juga penulis buku itu dan Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka, Datuk Dr Awang Sariyan.
Buku setebal 392 muka surat itu banyak berkisar pada sejarah penubuhan Parlimen Dwidewan.
Berharga RM50 senaskhah, buku itu juga mengisahkan pelantikan Yang di-Pertua Dewan Negara dan Timbalan Yang di-Pertua Dewan Negara mengikut Perlembagaan Persekutuan selepas Parlimen Dwidewan diwujudkan pada September 1959.
Ia juga mencatatkan sejarah pelantikan Timbalan-Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat dan secara ringkas pelantikan ‘Clerk to the Council’ atau Setiausaha-Setiausaha kepada Dewan Negara dan Dewan Rakyat. – BERNAMA