Langkah drastik kerajaan mengapungkan harga bahan bakar RON95 dan Diesel yang diumumkan beberapa hari lalu menimbulkan seribu satu pertanyaan masyarakat.
Apa yang dilihat, pelaksanaan berkuatkuasa 1 Disember tersebut adalah baik untuk kewangan individu, namun ianya akan jadi beban andai harga minyak tiba-tiba mencanak naik.
Ditemui selepas merasmikan MAHA 2014 di Serdang, Sabtu lalu, Datuk Seri Najib Tun Razak telah memberikan penjelasan berhubung keraguan tersebut.
Ujarnya, tujuan utama kerajaan mengumumkan tindakan pengapungan tersebut adalah untuk memberi faedah kepada rakyat setelah harga minyak mentah dunia berlegar di sekitar USD 80 setong.
“Jadi bila ia menurun kita boleh buat pengubahsuaian dengan lebih cepat. Iaitu pada 1 haribulan tiap-tiap bulan kita akan buat pengubahsuaian mengikut pasaran harga dunia dalam bulan yang lalu. Dengan cara itu kita boleh beri manfaat kepada pengguna dan rakyat dengan cara yang lebih pantas lagi.
Keduanya dengan cara ini kita boleh memindah subsidi yang kita jimat dalam bentuk peruntukan yang lebih untuk pembangunan sosio-ekonomi. Kita boleh tambah peruntukan utk pembangunan luar bandar, pendidikan, kesihatan dan semua yang melibatkan sektor-sektor berkaitan kesejahteraan rakyat.
Cuba bayangkan kalau kita boleh jimat antara RM10 ke RM20 billion setahun sudah tentu kita boleh tambah peruntukan dalam sektor-sektor yg lebih penting,” petik kenyataan beliau yang disiarkan portal AgendaDaily.
Selain itu Najib berkata, situasi ini juga diambil bagi mendidik rakyat bahawa penurunan mahupun kenaikan harga minyak bukanlah berpunca daripada kerajaan.
“Jadi jangan kerajaan dipersalahkan waktu harga naik sebab di luar kawalan mana-mana kerajaan sekalipun. Ini harga pasaran sedunia. Jadi bila kita didik pasal ini rakyat akan faham. Yang jadi masalahnya apabila kita buat perubahan harga minyak selama ini kerajaan dipersalahkan.”
Namun demikian jika harga minyak kembali naik, kerajaan kata Najib, memiliki strategi lain bagi mengurangkan beban yang ditanggung rakyat.
“Sebaliknya kalau harga terus melambung naik dan rakyat menerima tekanan, kerajaan ada cara-cara lain nak tolong rakyat. Maknanya bukan kita hapus subsidi sama sekali. Tidak.”
– MYNEWSHUB.CC
Oleh : IZZAT MOHD ANUAR