MINGGU lalu tanpa apa-apa petunjuk, penganalisis ekonomi tempatan mungkin ‘gempar’ dengan kemunculan sebuah syarikat baharu,Jentayu Danaraksa Sdn. Bhd. (Jentayu) yang tiba-tiba mahu menjadi tumpuan kepada pelan pemulihan Malaysia Airlines (MAS).
Syarikat didakwa mewakili ramai profesional Melayu yang berpengalaman luas serta pakar dalam industri penerbangan tempatan dan antarabangsa itu diketuai sendiri bekas Pengarah Urusan MAS pada zaman kegemilangannya, Tan Sri Dr. Abdul Aziz Abdul Rahman.
Kebetulan, Jentayu mengeluarkan kenyataan media pada hari sama Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) mengadakan mesyuarat agung luar biasa pemegang saham minoriti MAS menerima tawaran menjadikan sayap pelaburan utama kerajaan itu menguasai MAS.
Berita panas itu disiarkan beberapa akhbar pada 8 November dengan memetik Pengarah Urusan Jentayu, Feriz Omar yang mendakwa Khazanah mungkin terlepas pandang beberapa bidang MAS boleh diteroka untuk menjana semula laba syarikat penerbangan kebangsaan.
Di atas kertas, nyata cadangan Jentayu agak idealistik tetapi ia juga menimbulkan persoalan adakah ia praktikal apatah lagi syarikat yang baharu diwujudkan Ogos lalu itu mendakwa sebagai mampu menyerap kira-kira 6,000 petugas MAS yang bakal diberhentikan kerja.
Alasan Jentayu daripada Khazanah melantik beberapa agensi bagi melatih ribuan pekerja MAS yang dibuang itu dengan pelbagai kursus keusahawanan atau menyertai AirAsia, adalah lebih baik diserap Jentayu bertugas dalam bidang kemahiran mereka ketika di dalam MAS.
Ideanya mereka tidak diberhentikan tetapi langsung berpindah kepada Jentayu dan terus bertugas dalam bidang sama seperti di dalam MAS, maka Khazanah dapat jimat kos berbilion ringgit, ironinya ia juga cetus soalan: Adakah Jentayu akan menjadi sebagai MAS ke-2?
Ia lebih jadi misteri apabila pelan Jentayu itu bakal menyaksikan pembelian kepentingan Penerbangan Malaysia Berhad (PMB) yang selama ini meminjamkan pesawat untuk disewa MAS, selain ambil alih Firefly, MAS Engineering dan beberapa segmen penting lain.
Mudah cakap Jentayu secara tidak langsung ‘menakluk’ aset utama MAS yang menjadi mercu tanda syarikat di samping menguasai bidang teras MRO (Maintenance, Repair, Overhaul) yang sebenarnya ‘signature’ MAS sehingga disegani di peringkat global.
Anehnya ketika Jentayu mendakwa sudah bertemu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak serta berjumpa negarawan Tun Dr. Mahathir Mohamad bagi menarik sokongan, tidak jelas apakah motif sebenar Jentayu kerana pelan pemulihan mereka boleh dipersoalkan.
Mereka tidak menyatakan secara tuntas sumber dana Jentayu sebaliknya mendakwa ia akan diperoleh selepas Khazanah bersetuju dengan pelan pemulihan itu yang cuma bersandarkan kepada nama-nama hebat ramai pemimpin industri sebagai anggota lembaga Jentayu.
Hakikatnya, masyarakat tidak tahu apa ‘permainan’ yang mahu dicipta Jentayu kerana ia amat berahsia tidak mendedahkan ‘road map’menyelamat MAS daripada Khazanah, bahkan punca kewangan Jentayu bagi mengambil alih MAS juga tidak dinyatakan terang.
Cukuplah MAS dieksploitasi pihak berkepentingan sejak dulu lagi yang lebih banyak bermain ‘silap mata’ tetapi yang lebih dibimbangi, MAS langsung lenyap daripada industri penerbangan global yang ‘kejam’ dan membunuh mangsa yang lemah berdaya saing.
Jika benar Jentayu jujur dan ikhlas memulihkan MAS sebagaimana era kegemilangannya dahulu, biarlah rakyat tahu apa sebenarnya isi kandungan pelan mereka terutama dana besar bagi membiayai semula aset-aset strategik MAS yang bakal diambil alih kelak.
Sekiranya mereka berdolak-dalik, adalah lebih baik Jentayu memberi kepercayaan kepada Khazanah bagi menyelamatkan MAS menjadi syarikat baharu atau newco yang benar-benar kompetitif memacu imej ‘Jalur Gemilang’ terbang lebih tinggi di angkasa raya. – MYNEWSHUB.CC