GENERALISASINYA mudah.. komponen Pakatan Rakyat memang tak surut daripada isu bercakaran dan saling mengkritik, terutama DAP dan PAS, kebelakangan ini.
Belum surut isu DAP hentam Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang akibat ketidakhadiran beliau dalam mesyuarat, kini situasi tambah gawat apabila dua parti ini makin menunjuk kepada umum ketidaksefahaman antara mereka.
BACA: Abdul Hadi Kuasa Veto Dalam PAS! – Guan Eng
Percakaran antara DAP dan PAS ketara diperlihatkan apabila, jawatan Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri yang sepatutnya dikhaskan untuk parti Islam tersebut, tetap cuba ‘dicaras’ rakan sekutu dalam PR itu, hari ini.
Sebelum ini, jawatan tersebut dipegang oleh Nik Nazmi Ahmad (ADUN PKR) yang terpaksa melepaskannya selepas dilantik menjadi Exco Kerajaan Negeri.
Bagaimanapun, satu persetujuan telah dilakukan untuk mengkhaskan jawatan itu kepada PAS memandangkan kuota yang sepatutnya diisi PAS dalam jawatan ahli Exco telah dikurangkan daripada empat menjadi tiga sahaja selepas Azmin naik jadi MB Selangor.
Namun, Dewan Undangan Negeri Selangor menjadi PANAS hari ini apabila ketika undian hendak dilakukan, tak ada angin tak ada ribut.. tiba-tiba DAP menamakan calon mereka iaitu ADUN Sekinchan, Ng Swee Lin untuk menduduki kerusi tersebut.
ADUN PAS dari Cempaka, Iskandar Abdul Samad pula menamakan ADUN Bangi, Dr Mohd Shafie Ngah sebagai calon bagi jawatan itu.
Usai sesi mengundi, Dr Mohd Shafie berjaya meraih 28 undi manakala Ng Swee Lin 14 undi. Kesemua ADUN dari Barisan Nasional pula memutuskan untuk tidak masuk campur sesi pemilihan tersebut. Maka amatlah terang lagi bersuluh.. kesemua yang mengundi PAS merupakan ADUN dari PKR sahaja.
Dari segi lain, nampak benar perpecahan dalam kalangan puak-puak PR makin sukar dibendung.
Segala-galanya dah pasti tak berlaku sekelip mata. Tapi lepas satu, satu.. ada sahaja kes muncul jadi penyumbang pada hubungan retak menanti belah dalam gabungan PR.
DAP dan PKR  dilihat tidak senada dengan PAS di banyak sisi, antaranya pelaksanaan hukum hudud di Kelantan, Langkah Kajang, pengguguran Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai MB Selangor dan pelantikan Wan Azizah menggantikan Khalid.
Ramai menyuarakan pandangan bahawa pertelingkahan dalaman itu berlaku akibat misi perjuangan yang berbeza haluan antara ketiga-tiga parti, terutamanya DAP dan PAS.
Mengambil contoh isu Octoberfest apabila ramai pemimpin DAP menghadiri acara jamuan ‘beer’ tersebut, ia seolah-olah mencabar rakan tahaluf siyasinya memandangkan PAS menentang penganjuran program minuman memabukkan itu.
Pergolakan dalam pakatan kemudiannya melarat kepada bisik-bisik halus dari DAP yang menginginkan PAS keluar dari Pakatan jika mereka tidak lagi merasakan gabungan tersebut relevan dengan perjuangan mereka.
Membidas balik kenyataan tersebut, PAS juga turut menyeru DAP berbuat perkara sama kalau tak puas hati.
BACA: Najib – Kerjasama UMNO & PAS Tak Boleh Dibincang Terbuka
Nampaknya, ‘kapal’ pakatan kini terumbang-ambing dibadai alun ciptaan sendiri. Entah apa episod yang akan bersambung selepas ini, sama-sama kita nantikan.. – MYNEWSHUB.CC
Oleh : IZZAT MOHD ANUAR