BRISBANE – Australia sedang memantau dengan dekat kehadiran empat kapal tentera laut Russia yang dilaporkan berada di pantai utaranya.
Kapal laut itu muncul secara kebetulan ketika kehadiran Presiden Vladimir Putin menjelang Sidang Kemuncak G20 di sini.
Sebelum ini, Presiden Russia itu mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Australia, Tony Abbott di Forum Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) yang berlangsung di Beijing, awal minggu ini.
Perhubungan di antara kedua-dua negara agak tegang berikutan kejadian di mana pesawat Penerbangan Malaysia, MH17, ditembak jatuh di timur Ukraine, Julai lalu.
Justeru kehadiran Putin di Brisbane sudah tentu menimbulkan persoalan berikutan kemarahan Australia berhubung nahas pesawat terbabit di mana 298 orang, termasuk 38 warga dan pemastautin Australia, maut di kawasan dikuasai pemberontak di timur Ukraine.
“Pihak pertahanan sedang memantau kapal laut Russia itu yang sedang belayar di perairan antarabangsa dan menuju ke utara Australia,” kata Pasukan Pertahanan Australia dalam satu kenyataan.
Tentera Laut Russia sebelum ini pernah dihantar ke negara yang menjadi tuan rumah kepada sidang kemuncak antarabangsa utama, seperti mesyuarat APEC di Singapura pada 2009.
Sebuah kapal perang dari Russia juga mengiringi lawatan bekas Presiden Russia, Dmitry Medvedev ke San Francisco, Amerika Syarikat pada 2010.
Menteri Luar Australia, Julie Bishop berkata, Russia berhak mempunyai kapalnya di perairan antarabangsa, tetapi ia dipantau dengan rapi.
“Saya faham kapal ini adalah sebahagian daripada ekspedisi di perairan antarabangsa. Ia bukannya tidak dijangkakan.
“Russia berhak, sebagaimana negara lain, untuk belayar di perairan antarabangsa. Kami mengesannya dan sejauh pengetahuan saya kapal berkenaan berada di perairan antarabangsa,” katanya. – AFP