KUALA LUMPUR – Syarikat penerbangan hibrid, Malindo Air meminta orang ramai berhati-hati terhadap satu sindiket yang menyamar sebagai kakitangan syarikat itu bagi tujuan menipu.
Malindo Air dalam satu kenyataan memberitahu, sindiket itu menyamar sebagai kakitangan yang menjual tiket Malindo Air pada harga promosi atau lebih murah.
“Kami mendapat laporan mengenai hal ini daripada pelanggan yang memberitahu menerima panggilan yang berterusan daripada sindiket itu dalam sehari.
“Kami ingin menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati ke atas penipuan itu dan mengelakkan panggilan itu jika perlu,” kata kenyataan itu hari ini.
Menurut kenyataan itu, kakitangan Malindo Air hanya akan menghubungi pelanggan secara langsung untuk membincangkan butir-butir tempahan tanpa proses pengesahan transaksi.
Justeru, orang ramai yang menerima panggilan mencurigakan dan mengaku kakitangan Malindo Air tetapi meminta butiran bank dan kad kredit diminta tidak melayan panggilan rersebut.
“Jangan teruskan jika anda diminta untuk memindahkan tunai ke dalam akaun bank lain. Malindo Air hanya menerima tunai atau cek deposit manakala perkhidmatan pembayaran kad kredit hanya boleh didapati di kaunter tiket Malindo Air di seluruh negara,” jelas kenyataan itu.
.
Sehubungan itu, Malindo Air menggesa orang ramai supaya berhati-hati dan menghubungi syarikat penerbangan itu sekiranya berhadapan situasi penipuan tersebut.