NEW DELHI – Jika di Malaysia kecoh dengan kempen sentuh anjing, lain pula hal berlaku di India apabila sebuah badan belia negara itu menimbulkan kontroversi menganjurkan acara cium mulut beramai-ramai demi cinta atau Kiss of Love pada 2 November lalu.
Program di bandar pelabuhan Kochi, selatan wilayah Kerala berlangsung sebagai protes balas dendam ekoran tindakan aktivis penganut Hindu yang didakwa menyerang sekumpulan remaja di sebuah kafe minggu sebelum itu kononnya berlaku kegiatan tidak bermoral.
Berang dengan gangguan itu, mereka menganjurkan acara cium secara massa melibatkan ratusan pasangan bebas memeluk sambil bercium di kawasan pinggiran pantai pelancongan popular Kochi malah laman rasmi Facebook kumpulan itu menerima ribuan ‘like’.
Bagaimanapun program tersebut mendapat bantahan banyak pihak konservatif yang menyifatkan ia mencabuli norma budaya tempatan sehingga mencetuskan rusuhan kecil, manakala pihak polis mendakwa acara itu sebagai haram kerana tiada permit perhimpunan.
Beberapa penduduk turut menghantar petisyen kepada mahkamah tinggi bandar itu namun ditolak badan kehakiman India kerana dianggap tidak menyalahi undang-undang tetapi beberapa peguam mendakwa, acara itu cuma mengganggu emosi penonton sahaja.
“Kita tidak boleh membuat undang-undang sendiri. Ia memang acara haram namun seseorang tidak pula berhak bertindak secara haram hanya kerana memberi respons kepada tindakan haram tersebut,†kata pakar perundangan dikenali sebagai Subhalakshmi. – Agensi