CAMERON HIGHLANDS – Sehingga pukul 9.30 pagi ini, mangsa banjir kilat yang ditempatkan di Pusat Pemindahan Mangsa Bencana di Dewan Serbaguna Orang Ramai, Ringlet di sini adalah berjumlah 91 orang daripada 28 keluarga.
Ketua Polis Daerah Cameron Highlands, DSP Wan Zahari Wan Busu berkata kesemua mangsa dipindahkan ke situ sejak Rabu lepas.
Beliau berkata mangsa masih tidak dibenarkan pulang ekoran cuaca yang tidak menentu.
“Faktor cuaca tidak mengizinkan kerana hujan lebat turun sekejap-sekejap. Mangsa hanya akan dibenarkan pulang untuk mengambil barang keperluan apabila hujan berhenti,” katanya kepada Bernama di sini.
Para mangsa merupakan penduduk sekitar tebing Sungai Bertam yang diarah berpindah apabila air Empangan Sultan Abu Bakar dilepaskan secara berperingkat ekoran parasnya yang semakin meningkat akibat hujan lebat.
Sementara itu Pekan Ringlet juga dilanda banjir kilat apabila air di sungai berhampiran naik melebihi paras tebing berikutan hujan lebat selama sejam.
Lima orang terkorban manakala lima lagi cedera dalam kejadian banjir dan tanah runtuh di sini Rabu lalu. – BERNAMA