GEORGE TOWN – Seorang pekerja kilang terkejut apabila menemui seorang bayi lelaki di atas bonet keretanya di Kampung Bukit, Bayan Lepas di sini Sabtu.
Timbalan Ketua Polis Daerah Barat Daya, DSP Siti Nor Salawati Saad berkata lelaki yang baru pulang dari bekerja syif malam itu terdengar tangisan bayi sebaik tiba di rumahnya.
“Bayi yang dibalut kain cadar itu dipercayai baru dilahirkan kerana uri dan tali pusatnya masih ada,” katanya kepada pemberita.
Bayi yang tanpa sebarang pendarahan itu telah dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk pemeriksaan lanjut.
Nor Salawati berkata usaha mengesan ibu bayi berkenaan sedang dilakukan menerusi ujian DNA pada kain cadar tersebut.
Orang ramai serta pihak klinik atau hospital yang menemui wanita yang baru lepas bersalin dan dalam keadaan mencurigakan diminta menghubungi pihak polis, katanya. – BERNAMA