Bekas kapten bola sepak England, David Beckham menceriakan 200 anak yatim, miskin dan kurang upaya ketika singgah di Singapura pada Sabtu dalam siri jelajah ke beberapa negara Asia selepas melawat Malaysia, lapor stesen tempatan, Channel NewsAsia hari ini.
Beliau meluangkan masa secara eksklusif bersama-sama mereka daripada Association for Persons with Special Needs, Ang Mo Kio Family Service Centre dan Student Care Service di resort terkemuka yang menjadi mercu tanda Singapura, Marina Bay Sands (MBS).
Beckham yang berusia 39 tahun turut menyampaikan lebih 1,500 hadiah yang disumbangkan dalam kempen derma selama dua minggu meliputi buku, pakaian dan alat permainan serta mengambil kesempatan beramah mesra dengan kanak-kanak kurang bernasib baik.
Majlis tersebut diadakan bersempena dengan sambutan perayaan Krismas dan beliau kemudian meneruskan acara bertemu para peminat Singapura di MBS sebelum bermain skate di litar Skating Rink di The Shoppers pada sebelah malam. – Agensi