Sebuah syarikat pengeluar minuman keras telah mencipta dan memasarkan vodka dan wiski dalam ‘versi halal’.
Bagi masyarakat di negara Islam seperti Malaysia, persoalan pertama yang timbul adalah benarkah minuman tersebut benar-benar halal diminum?
Sememangnya, Syarikat ArKay Beverages telah pun melancarkan produk minuman keras halal ini di mana ia dikatakan tidak mengandungi sebarang kandungan alkohol.
Didakwa sudah mendapat sijil halal untuk penganut Islam dan kini menunggu pengesahan sijil Kosher untuk Yahudi, minuman ini sudah mula dipasarkan di Amerika Syarikat, Australia, Mexico dan beberapa tempat di sekitar Eropah.
Tujuan ArKay mencipta minuman versi halal ini dikatakan bagi mengembangkan lagi perniagaan mereka selain memberi kelainan kepada pengemar minuman keras.
Produk minuman keras halal keluaran syarikat ini dikatakan telah menarik minat ramai pihak yang mahu mencuba.
Pengguna sasarannya termasuklah orang Islam, wanita mengandung dan pemandu tegar yang tidak boleh mengambil minuman alkohol.
Rata-rata pelanggan didakwa memberi respon ia mempunyai rasa menarik dan tidak membahayakan kesihatan seperti minuman keras alkohol biasa.
Namun meskipun sudah dapat pengesahan halal di luar negara, setahu kami Malaysia mempunyai garis panduan tersendiri dalam menentukan sama ada sesuatu produk boleh diberikan sijil halal negara ini.
Antaranya, minuman yang dibuat dengan niat dan cara sama seperti proses membuat arak, sama ada mengandungi banyak atau sedikit alkohol atau alkoholnya disuling dikira haram diminum, justeru sijil halal tidak akan dikeluarkan sebagaimana minuman ringan jenama Malta (GAB) dan Nutri Malt (Carlsberg) yang dijual di negara ini. – MYNEWSHUB.CC
Oleh : KAKAK BUNGA