TORONTO- BlackBerry Ltd yang dilihat mengalih fokus untuk mendapatkan pelanggan daripada kalangan syarikat gergasi dan agensi kerajaan, mungkin melaksanakan strategi itu menerusi pelancaran suatu platform enterpris baharu.
Syarikat itu yang dikatakan menjadi pelopor peranti internet mudah alih untuk sektor perniagaan, akan melancarkan platform baharu pengurusan peranti mudah alih di San Francisco, Khamis (awal pagi Jumaat di Malaysia). Pelancaran itu dilihat akan menjadi antara wadah penting ke arah pemulihan BlackBerry.
BlackBerry dijangka mengumumkan pakatan kerjasama dengan syarikat telekomunikasi dan penyedia perkhidmatan mudah alih yang akan turut memasarkan platform baharu BlackBerry Enterprise atau BES 12, mengikut sumber rapat dengan syarikat itu.
Penganalisis dan pelabur kini memberi perhatian kepada syarikat itu sama ada Ketua Pegawai Eksekutif, John Chen dapat memacu pertumbuhan pendapatan menerusi platform baharu itu.
BES 12 adalah sistem yang membolehkan syarikat gergasi untuk mengurus dan menjamin keselamatan peranti mudah alih dalam rangkaian sesebuah organisasi, bukan saja bagi telefon mudah alih yang dikeluarkan BlackBerry tetapi juga yang menggunakan sistem operasi (OS) Android, Windows (Microsoft) dan iOS (Apple).
“Ia adalah acara penting dan kami sangat berminat dengan strategi enterpris syarikat itu. Akan tetapi strategi saja tidak cukup untuk memastikan pemulihan sepenuhnya syarikat itu,” kata Penganalisis di Morningstar, Brian Colello.
“BlackBerry perlu memperkenalkan produk dan sistem yang berjaya pada setiap kali untuk beberapa tahun akan datang,” tambahnya.
Setakat ini, BlackBerry sudah mempunyai 3.4 juta pelanggan yang setuju untuk mencuba BES 12 yang berkemungkinan menjadi pelanggan berbayar mulai tahun depan.
Namun demikian, penganalisis mengingatkan BlackBerry berada dalam pasaran yang sesak untuk platform itu.
“Sistem yang diperkenalkannya akan bersaing dengan pemain yang sudah lama di pasaran dan mempunyai sokongan sumber yang besar,” kata penganalisis teknologi di IDC, John Jackson.
“BlackBerry akan berdepan saingan daripada Citrix, IBM dan SAP serta pemain baharu termasuk MobileIron dan Good Technology,” katanya. – Reuters