KUALA LUMPUR – Bursa Malaysia dijangka mencatat rekod tertinggi dalam sejarah hampir empat dekad penubuhannya apabila Indeks Komposit mungkin melepasi 1,900 mata akhir tahun ini dan tidak mustahil mencecah 2,020 mata pada hujung tahun depan.
Keyakinan tersebut disuarakan penganalisis terkemuka, Datuk Dr. Nazri Khan dan secara kebetulan angka 2,020 mata itu menyerupai tahun keramat 2020 yang disasarkan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad untuk Malaysia mencapai status negara maju.
“Saya optimis indeks boleh capai 2,020 mata menjelang akhir 2015, malah tahun ini pun indeks dijangka boleh melepasi paras psikologi 1,900 mata sekali gus jadi angka ‘magic’ tanda aras kepada pasaran komposit tempatan,†katanya pada sidang media di sini hari ini.
Beliau yang juga Naib Presiden dan Ketua Penyelidikan Pelabur Runcit Affin Hwang Capital berkata, setelah berpisah daripada bursa Singapura, prestasi indeks tempatan amat positif bahkan sejarah membuktikan ia menokok kira-kira 30 peratus sejak ditubuhkan 1977.
Sekadar rekod, indeks meliputi 100 syarikat terbesar Malaysia yang jadi penunjuk kekuatan iktisad negara kita pernah jatuh teruk serendah 261 mata ketika krisis ekonomi Asia 1998 sebelum pulih melepasi 1,000 mata pada tahun 2000 dan kini berlegar sekitar 1,800 mata.
Dr. Nazri turut mengumumkan Persatuan Penganalisis Teknikal Malaysia (MATA) ditubuhkan sejak Februari lalu hasil inisiatif Persatuan Remiser Bumiputera Malaysia telah menerima pengiktirafan badan profesional penganalisis saham terkemuka Britain bulan lalu.
“Hasil tauliah ini, 47 remiser perintis MATA yang melalui beberapa proses saringan ketat kini diiktiraf serta boleh berkhidmat dengan institusi analisis saham di seluruh dunia,†katanya menambah, Indonesia dan Singapura sudah lama memiliki badan sedemikian.
Beliau yang juga Presiden MATA menyasarkan, organisasi itu akan mempunyai lebih 1,000 penganalisis saham berdaftar menjelang akhir 2015 dan berharap kredibiliti badan tersebut setanding dengan persatuan profesional lain seperti akauntan, doktor, jurutera atau peguam.
Pada masa ini ujar Dr. Nazri, dianggarkan terdapat lebih 100,000 remiser atau peniaga saham berlesen yang sedia memberi perkhidmatan bimbingan berkaitan risiko saham tempatan namun jumlah remiser bumiputera jauh amat kecil iaitu kira-kira empat peratus sahaja.
“Ini begitu menyedihkan kita walhal jumlah dagangan pasaran modal saham tahun ini dianggarkan kira-kira RM1.5 trilion, justeru kita harap dapat anjur banyak seminar kesedaran saham agar golongan bumiputera merebut peluang menerusi pelaburan bursa,†katanya. – MYNEWSHUB.CC