PETALING JAYA – Celcom Axiata Bhd memperkenalkan iPhone 6 dan iPhone 6 Plus pada tengah malam tadi di Blue Cube, Sunway Pyramid.
Menjelang detik pelancaran, beratus-ratus peminat setia iPhone sudah membentuk barisan panjang dengan harapan menjadi antara enam pembeli terawal untuk membeli peranti berkenaan pada harga hanya RM6 seunit.
Dengan pelancaran rasmi itu, iPhone 6 dan 6 Plus kini ditawarkan di Blue Cube dan gedung Celcom Xclusive di seluruh negara. Pelanggan boleh membeli peranti berkenaan pada harga bermula dari RM418 selepas rebat bagi model 16GB dan iPhone 6 Plus daripada RM768 seunit selepas penjimatan dan rebat bagi model 16GB dengan pakej kontrak 24 bulan.
Ketua Pegawai Pemasaran, Zalman Aefendy Zainal Abidin, berkata pelanggan bukan hanya semakin bijak memilih peranti pintar tetapi juga mahu sambungan dengan penyedia rangkaian yang mempunyai liputan paling meluas dan terpantas.
“Menerusi pakej kami yang bernilai untuk wang dan liputan rangkaian 4G LTE, pelanggan akan dapat memanfaatkan sepenuhnya peranti canggih berkenaan,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan di sini hari ini.
Tahun ini, Celcom memperkenalkan program tukar beli buat kali pertama, membolehkan pengguna yang membawa iPhone lama potongan harga tambahan untuk pembelian iPhone terkini.
Promosi itu bagaimanapun hanya ditawarkan di cawangan Blue Cube @ Sunway Iconic, Sunway Pyramid hingga 9 November ini. – BH Online