BANGKOK – Datuk Lee Chong Wei yakin dia dapat membersihkan namanya selepas digantung sementara oleh Persekutuan Badminton Dunia (BWF).
Pemain nombor satu dunia itu terus mempertahankan dia tidak bersalah selepas gagal dalam ujian doping, awal bulan ini dan akan menunggu keputusan Jawatankuasa Panel Pendengaran badan induk itu, bulan depan.
“Saya amat yakin sekali bahawa kes ini bukan salah saya,” kata Chong Wei kepada wartawan di sidang akhbar, hari ini menjelang perlawanan pertunjukan di Thailand.
“Saya harus menguatkan diri. Ramai menghantar mesej minta saya kekal kuat. Saya mahu mendengar satu keputusan baik bulan depan.”
Chong Wei yang memenangi pingat perak pada Sukan Olimpik 2008 dan 2012 berdepan hukuman penggantungan dua tahun jika dia gagal dalam rayuannya.
Jaguh kebangsaan itu juga akan dilucutkan kemenangan pingat perak dalam Kejohanan Dunia di Copenhagen, Ogos lalu – lokasi dia gagal dalam ujian pertama.
Pemain berusia 32 tahun itu sudah memenangi 55 gelaran secara global serta pingat perak Olimpik dalam kerjaya badminton sehingga kini. – REUTERS