Jika anda impikan kediaman di atas lautan, mungkin rumah konsep di pantai barat daya Australia ini boleh memenuhi hasrat tersebut.
Binaannya yang kelihatan berbahaya dengan hanya berpaut pada tepi tebing terletak beberapa meter sahaja di atas paras laut.
Konsep kediaman yang dinamakan sebagai Cliff House ini dibina menegak pada lereng tebing dan berpaut pada palang sokongan yang dipasak pada tebing berkenaan.
Idea Cliff House ini diilhamkan oleh pakar seni bina rumah pasang siap, Modscape Concept yang mendapat inspirasi melalui bentuk teritip yang melekat pada badan kapal.
Rumah konsep Cliff House yang kelihatan tergantung hampir sepenuhnya membuatkan ia seperti tebing tambahan pada lanskap berkenaan.
Rumah lima tingkat itu dibina daripada model pasang siap yang disusun secara menegak.
Setiap bilik dibina atas satu sama lain secara bertingkat dan dilengkapi alang besi yang dipasak pada tebing.
Penghuni rumah akan memasuki kediaman melalui tingkat atas yang separas dengan tebing dan kemudiannya menggunakan lif atau tangga untuk pergi ke bilik tidur, ruang tamu atau dapur.
Tingkat paling bawah kediaman Cliff House terdiri daripada ruangan terbuka yang seolah-olah terapung di atas air, memberikannya sentuhan menakjubkan (atau mungkin juga menakutkan) pada ruangan terbuka kediaman itu serta pemandangan laut yang indah dan menarik.
Sumber: modscape
Oleh: hzqahmd