KUALA LUMPUR – Delegasi ke Forum Antarabangsa bertemakan ‘Dunia Kesalinghubungan Digital: Cabaran Dalam Pembinaan Negara’ di sini hari ini memuji Umno atas daya usahanya menganjurkan acara yang berinformasi dan interaktif itu.
Mereka turut berbesar hati berpeluang menghadiri majlis itu dan berhasrat untuk berkongsi pengetahuan yang diperoleh dengan masyarakat di negara mereka kelak.
Seorang wakil dari Kazakhsthan, Erlan Madiyer berkata, forum itu menjadi wadah bagi peserta untuk berkongsi pengetahuan dan pengalaman dalam mengendalikan Internet serta media sosial yang pantas berkembang.
“Perbincangan di sini akan membantu kami dalam memperjelaskan cabaran dan mewujudkan kesepakatan tentang cara terbaik untuk mendepaninya.
“Forum hari ini bagaikan perhimpunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang kecil apabila begitu banyak negara berkumpul dalam satu dialog interaktif yang memberi peluang kepada semua peserta untuk berkongsi idea serta pandangan berbeza,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.
Forum itu, yang menyaksikan penyertaan 127 wakil daripada 34 parti politik di 22 negara, menyediakan peluang kepada mereka untuk saling mempelajari pengalaman berharga dalam menguruskan cabaran di negara masing-masing.
Ia diadakan bersempena Perhimpunan Agung UMNO 2014 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini.
Anggota Cambodian People Party, Eng Huy Leng percaya forum itu dapat menjadi landasan bagi setiap negara untuk menjalin kerjasama bagi mengelak daripada berdepan masalah.
“Ia forum yang sangat baik. Satu usaha amat baik yang memberi kami peluang untuk bekerjasama dan menimba ilmu. Umno menyelaraskan forum bagi semua delegasi berkongsi idea dan kepakaran,” katanya.
Sementara itu, seorang peserta dari Republik Azerbaijan, Sevinj Fataliyeva percaya forum akan memberi manfaat kepada semua negara terbabit selepas mendengar ucapan berinspirasi daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Sevinj berkata setiap negara mempunyai cara tersendiri untuk mewujudkan kesedaran berkaitan toleransi dalam sebuah negara majmuk dan beliau berharap selepas forum berakhir, masyarakat akan lebih bertimbang rasa serta menghormati pegangan agama orang lain.
“Sebagai seorang daripada anggota panel hari ini, Saya akan menyentuh tentang merealisasikan suara rakyat dan bagaimana kerajaan Azerbaijan bekerjasama dengan badan bukan kerajaan yang mewakili suara rakyat dalam menggubal dasar negara,” katanya.
Anggota panel dari Turki, Kenan Capik berharap forum itu akan menghasilkan penyelesaian kepada masalah global dalam membangunkan serta melestarikan negara dalam dunia kesalinghubungan digital.
“Saya akan turut mewakili negara saya dalam berkongsi tentang pendekatan agama yang digunakan di Turki dalam mengendalikan isu politik. Kami percaya pendekatan ini memberi keadilan kepada rakyat dan menyumbang kepada pembangunan negara.
Anggota Wiper Democratic People Party dari Kenya, Kimoli Fedrick Kiema berkata forum itu akan membantu negara membangun untuk mengenal pasti potensi Internet dan teknologi komunikasi maklumat (ICT) dalam menambah baik kesejahteraan rakyat.
“Saya berpendapat forum ini adalah baik, terutamanya dalam membantu negara kami (Kenya) dan negara di Afrika untuk menangani dunia internet tanpa sempadan, dan Malaysia adalah contoh yang baik bagi Kenya untuk membangun dalam semua sektor,” katanya.
Duta Argentina di Malaysia, Maria Isabel Rendon menyifatkan forum itu sebagai tepat pada masanya memandangkan sempadan fizikal dunia tidak lagi wujud dengan adanya kemajuan teknologi. – BERNAMA