SEREMBAN – Dua buah rumah kedai dua tingkat terbakar awal pagi ini di Pekan Rantau dekat sini.
Pengarah Bomba dan Penyelamat Negeri Sembilan, Norazam Khamis berkata dalam kebakaran 5.58 pagi itu, tingkat atas rumah kedai itu, yang menjual barangan binaan dan perkakas rumah, musnah kira-kira 70 peratus.
“Pihak bomba dapat mengawal api daripada merebak ke bahagian lain kira-kira 15 minit selepas tiba sebelum memadam kebakaran itu sepenuhnya kira-kira sejam kemudian,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Seramai 20 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Senawang ditugaskan memadam kebakaran itu dengan dibantu anggota-anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Seremban, Seremban 2 dan Bomba Sukarela.
Norazam berkata pihak bomba menghadapi kesukaran memadam kebakaran kerana pemilik rumah kedai itu menyusun barang-barang mudah terbakar dengan padat di tingkat atas itu.
Punca dan kerugian masih disiasat. – BERNAMA