GEORGETOWN – Seorang kontraktor dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini selepas didapati bersalah mengedar dadah jenis methamphetamine seberat 2,277.2 gram tahun lepas.
Hakim Datuk Nordin Hasan menjatuhkan hukuman terhadap Abdul Sarthar Abdul Gapor, 30, setelah mendapati keterangan pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.
Abdul Sarthar dituduh mengedar dadah berkenaan di Balai Ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang di Bayan Lepas di sini kira-kira pukul 11.30 malam pada 11 Februari tahun lalu.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta yang sama.
Hakim dalam penghakimannya berkata penjelasan pihak pembelaan tidak munasabah apabila tertuduh mendakwa tidak mengetahui kandungan dadah dalam bagasi dibawa sedangkan bagasi berkenaan berat dan terdapat bonjolan ekoran kandungan dadah yang banyak.
“Pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah.
“Terdapat banyak percanggahan yang tiada penjelasan munasabah,” kata Hakim.
Abdul Sarthar tidak menunjukkan sebarang reaksi terhadap keputusan mahkamah itu.
Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Izhanudin Alias manakala tertuduh diwakili Peguam, V. Parthipan. – BERNAMA