MALANG tak berbau apabila empat beranak maut selepas kereta yang dinaiki mereka bertembung dengan sebuah bas di Kilometer 8, Jalan Kuala Lipis-Merapoh berhampiran Kampung Kubang Rusa, awal pagi tadi.
Menurut sumber Harian Metro, tragedi yang berlaku pada jam 2.30 pagi itu menyebabkan mangsa, pemandu kereta, Ahmad Nor Sallahuddin Ahmad Zamberi, 29, maut di tempat kejadian akibat parah di kepala dan anggota badan.
Manakala isterinya, Azian Ismail, 32, dan dua anak mereka, Ahmad Abinubli, 3, dan Airis Auta, 1, meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Gua Musang, Kelantan.
Kejadian berlaku ketika empat beranak itu dalam perjalanan dari Kuala Lumpur menuju ke Kelantan.
Ahmad Nor Sallahuddin dikatakan secara tiba-tiba hilang kawalan sebelum terbabas ke laluan bertentangan mengakibatkan kenderaan mereka bertembung dengan sebuah bas ekspres yang datang dari arah Kelantan menuju ke Kuala Lumpur. – MYNEWSHUB.CC