Biarpun telah dituduh dengan sembilan dakwaan oleh Lembaga Tatatertib Universiti Malaya (UM), mahasiswa universiti itu Fahmi Zainol masih tidak serik untuk terus lantang bersuara menerusi pidato di seluruh Malaysia.
Semalam, kerana mengadakan pidato di Jalan Gaya, Kota Kinabalu Fahmi yang juga Presiden Persatuan Mahasiswa UM dan beberapa orang pelajar universiti lain telah ditahan kerana berucap tanpa kebenaran pihak berkuasa.
Namun Fahmi dilaporkan berkata, insiden penahanan itu tidak akan sesekali mematahkan semangatnya untuk memperjuangkan hak kebebasan bersuara, memetik laporan Mstar Online.
BACA – Mahasiswa Lain Tekun Belajar, Yang Melayu Asyik Demonstrasi
“Kita akan terus memperjuangkan hak ini. Tindakan yang dikenakan Lembaga Tatatertib UM dan penahanan polis di Kota Kinabalu tidak membuatkan saya serik untuk bersuara dan memberi penerangan kepada rakyat,” katanya.
Oleh itu, Fahmi berdegil akan kembali berpidato di Universiti Utara Malaysia (UUM) di Sintok, Jumaat ini dan kemudian di Universiti Sains Malaysia (USM) Universiti Teknologi MARA (UiTM) di Pulau Pinang.
Fahmi telah berlepas pulang ke Kuala Lumpur dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu pada pukul 10.15 pagi tadi.
Berkenaan kejadian ditahan di Sabah semalam, dia berkata mereka ditahan sebanyak dua kali iaitu pada pukul 11.30 pagi selepas selesai pidato di Jalan Gaya dan kemudian pada pukul 10.15 malam sebelum program ‘Pidato Mahasiswa’ di UMS.
“Pada mulanya kami diberitahu penahanan dilakukan untuk menyelamatkan kami daripada serangan kumpulan tertentu. Tetapi setelah dibawa ke balai polis kami disoal siasat mengenai pidato yang dianjurkan,” katanya.
Dia dan kesemua mahasiswa lain dibebaskan polis kira-kira pukul 12.15 tengah malam semalam. – MYNEWSHUB.CC