PETALING JAYA – Pelakon Fasha Sandha menegaskan tidak akan menerima sebarang tawaran bagi membuat ulasan jualan produk di Instagram tidak kira sama ada ianya dibayar atau tidak.
Fasha atau nama sebenarnya Nur Fasha Sandha Hassan, 30, menyifatkan perkara itu tidak sesuai dilakukannya memandangkan ia bukanlah satu tugasan yang wajib dibuat sebagai seorang pelakon.
“Ada sesetengah artis menerima bayaran untuk membuat IG Review (ulasan produk), tetapi ada juga yang tidak berbuat sedemikian. Bagi saya, terpulang pada pendapat masing-masing.
“Tetapi saya tidak mengenakan sebarang bayaran atau menerima tawaran membuat IG Review kerana itu bukanlah kerjaya saya,” katanya kepada mStar Online.
Bagaimanapun tambah Fasha, dia tidak mempunyai masalah sekiranya mana-mana pihak ingin mempromosi barangan pada setiap gambar-gambar di akaun Instagram miliknya itu.
Fasha bersikap terbuka pada mana-mana pihak peniaga yang ingin mempromosikan barangan jualan di akaun Instagram miliknya.
Kata Fasha, promosi jualan di laman sosial itu sedikit sebanyak pasti dapat membantu peniaga-peniaga online untuk meningkatkan jualan masing-masing.
“Jujurnya, ia sedikit pun tidak menganggu saya. Menerusi konsep ‘visit my IG’ di setiap gambar-gambar saya itu sedikit sebanyak dapat membantu mereka untuk berniaga.
“Ianya tidak menganggu rezeki saya, maka saya benarkan. Asalkan ia tidak keterlaluan.
“Andaikata saya kekurangan modal untuk mempromosikan barangan, dan sekiranya seseorang artis itu membenarkan saya meletakkan komen di laman Instagram mereka, saya juga akan buat perkara yang sama,” ujarnya.
Ditanya apakah pandangan Fasha mengenai segelintir artis yang meletakkan harga yang tinggi bagi membuat ulasan produk, katanya, ia terpulang kepada cara pihak peniaga dan seseorang artis berkenaan berurusan.
“Setiap artis berhak membuat apa sahaja di laman sosial masing-masing dan saya percaya ramai peniaga memerlukan khidmat artis bagi tujuan promosi. Jika ia membantu, tak salah untuk mereka berbuat demikian.
“Cuma saya pula tidak terlalu ‘tunduk’ pada laman sosial dan kerana itu tidak banyak gambar yang saya kongsikan di Instagram.
“Apa-apapun, saya mendoakan agar mereka (peniaga) berjaya dalam bidang masing-masing dan hormatilah laman sosial artis. Jika mereka tidak membenarkan pihak peniaga mempromosikan barangan di laman sosial itu, buat promosi dengan cara lain pula. Insyaallah, saya percaya banyak lagi cara yang boleh digunakan untuk tujuan promosi,” tuturnya. – mStar Online