Penduduk yang tinggal berhampiran Kg Pantai Cicar, Kuala Ketil, Kedah gempar petang semalam apabila sebuah bas yang sedang membawa penumpang terjunam ke dalam sungai di situ.
Difahamkan, bas yang dalam perjalanan menuju ke Sg Petani terbabit terjunam ketika melalui jambatan Sungai Muda sekitar jam 4.45 petang.
Namun difahamkan, mujurlah cuma tiga mangsa berada dalam bas ketika kejadian iaitu pemandu, penumpang lelaki tempatan dan seorang lelaki warga asing.
Kesemua mereka bagaimanapun berjaya menyelamatkan diri dengan merangkak keluar.
Seorang dilaporkan mengalami kecederaan di kepala sebelum dihantar ke Pusat Kesihatan Kuala Ketil sebagai pesakit luar.
Pihak bomba yang datang ke tempat kejadian selepas dihubungi dikatakan membuat pengesahan bahawa tiada mangsa lain selepas pemeriksaan dilakukan pasukan menyelam.
Tak dapat dipastikan kesahihannya namun ada yang mendakwa kenderaan terbabit adalah bas City Liner.  – MYNEWSHUB.CC