KUALA LUMPUR – Dewan Pemuda PAS (DPP) Perak kurang senang dengan masalah gejala buli dalam kalangan penghuni asrama sekolah seperti yang tersebar secara meluas dalam media sosial sejak kebelakangan ini.
Ketuanya, Dr. Raja Ahmad Iskandar Al-Hiss berkata, kejadian buli itu dikhuatiri akan menyebabkan ramai golongan ibu bapa tidak lagi berminat menghantar anak mereka ke asrama sekolah kerana bimbangkan keselamatan anak mereka.
“Kami berharap Jabatan Pendidikan negeri bertindak segera dengan melakukan pemantauan dan siasatan kepada semua sekolah-sekolah berasrama penuh.
“Kejadian ini menjadi satu budaya baru yang membimbangkan Ibu bapa yang menghantar anak mereka ke asrama penuh selama ini yang menjadi satu igaun ngeri,” dakwanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Raja Ahmad berkata, satu tindakan drastik perlu juga diambil oleh Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dalam usaha mencegah dan memastikan kejadian buli yang berlaku di asrama di atasi sepenuhnya.
Menurutnya, Jabatan Pendidikan setiap negeri perlu membuka satu talian khusus kepada semua pihak bagi tujuan menyalurkan maklumat kejadian buli yang berlaku di sekolah.
“Mungkin banyak lagi kejadian yang tidak diketahui oleh umum jika tidak tersebarnya video-video tersebut dan masih belum di atasi sepenuhnya
“Tindakan tegas juga perlu dikenakan juga kepada kaki buli agar memberikan kesedaran kepada semua pelajar agar membatasi tindak tanduk mereka,” katanya. – mynewshub.cc