PORT DICKSON – Media diminta berhati-hati dan bertindak bijak dalam melapor isu dengan mengelak pemberitaan sensasi atau keterlaluan.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Hasan Malek berkata ini bagi menjamin rakyat mendapat maklumat yang betul dan tepat.
“Kerapuhan isu dan pelanggaran etika kewartawanan akan menyebabkan rakyat hilang kepercayaan dan keyakinan terhadap media. Media tetap berperanan penting dan ini harus diakui semua pihak. Kita tahu sejak akhir-akhir ini pelbagai isu timbul dan peranan media sangat penting dalam soal penyaluran maklumat.
“Media secara tidak langsung dapat membentuk kerangka pemikiran audiens terhadap sesuatu perkara. Media juga sebagai salah satu pendorong kuat kepada tindakan masyarakat terhadap sesuatu isu.
“Ini bermakna media adalah mereka yang dapat memandu serta mendorong kepada sesuatu tindakan secara berkesan,” katanya pada Malam Apresiasi Media Negeri Sembilan 2014 anjuran Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) di sini malam tadi.
Bagaimanapun, beliau berpendapat laporan terhadap isu-isu yang dibangkitkan hendaklah dibuat dengan jujur dan berani.
“Jujur tidak pula bermakna kita sengaja mencari kesalahan orang lain dan berani tidak bermaksud ia boleh memporak-perandakan negara sehingga menjejaskan perpaduan. Saya berpendapat kebebasan media di negara ini adalah jauh lebih baik jika dibandingkan dengan sesetengah negara,” katanya.
Menurut Hasan, Presiden Persatuan Komunikasi Antarabangsa (ICA) Prof Ang Peng Hwa baru-baru ini berkata bahawa media Malaysia adalah yang terbaik dalam kalangan 10 negara anggota Asean daripada sudut laporan berita.
Beliau turut berharap media boleh memainkan peranan memupuk perpaduan bangsa dan integrasi national walaupun kini terpaksa berdepan dengan masyarakat yang semakin kritis.
“Bagi saya, media massa boleh membantu mententeramkan keadaan dan memberikan penjelasan yang benar terhadap apa juga isu yang dibangkitkan,” katanya.
Malam Apresiasi Media Negeri Sembilan 2014 itu antara lain bertujuan untuk merapatkan lagi hubungan media negeri ini dengan KPDNKK dan agensi di bawahnya.
Pada siangnya diadakan KPDNKK Media Amazing Hunt 2014 dari Seremban ke Port Dickson. – BERNAMA