KUALA LUMPUR – Hutang kerajaan Malaysia tidak mengancam kedudukan ekonomi negara, malah pencapaian ekonomi negara turut dicemburui negara lain, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.
Perdana Menteri berkata hutang negara berada pada paras 53 peratus (daripada Keluaran Dalam Negara Kasar), iaitu jauh lebih rendah jika dibandingkan dengan negara lain.
Beliau berkata kedudukan ini dilihat tidak mengancam kedudukan ekonomi negara, dan ia turut dipersetujui oleh negara luar.
“Dalam pertemuan bersama Perdana Menteri Belanda Mark Rutte semalam, beliau (Rutte) mengakui keadaan ekonomi Malaysia jauh lebih baik berbanding kedudukan ekonomi Belanda.
“Saya memetik kata-kata Rutte, “Saya mencemburui prestasi ekonomi anda,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Tan Seng Giaw (DAP-Kepong) pada Persidangan Dewan Rakyat, di sini pada Khamis.
Tan bertanyakan kaedah yang akan dilakukan oleh kerajaan untuk menyelesaikan masalah hutang negara, kenaikan kos perbelanjaan sektor awam dan kos sara hidup.
Mengulas mengenai hutang isi rumah, Najib berkata ia berada pada tahap 80 peratus, berbeza dengan Amerika Syarikat, yang membawa kepada krisis subprima.
“Hutang isi rumah negara, sebahagian besarnya adalah hutang untuk membeli rumah. Jadi, ada aset sokongan dan aset beli rumah terus meningkat. Walaupun pada tahap 80 peratus, namun kita mesti sedar, (bahawa) sebahagian besar merupakan hutang membeli rumah, dan nilai aset ini akan terus meningkat,” katanya.
Namun, Najib berkata kerajaan akan memantau agar hutang isi rumah tidak naik terlalu tinggi serta mampu menguruskan dan menambahkan pendapatan rakyat.
Kepada soalan tambahan Datuk Mansor Othman (PKR-Nibong Tebal), beliau berkata Malaysia mengamalkan prinsip ekonomi bebas dan terbuka, yang berlandaskan kepada pertumbuhan pasaran, dengan pencapaian yang sangat menggalakkan.
Dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini, Najib berkata kadar pertumbuhan ekonomi Malaysia adalah yang terbaik dalam kalangan negara anggota Asean dan antara yang tertinggi di dunia. – BERNAMA