Kisah empat kanak-kanak perempuan yang ditemui merayau-rayau di Sibu kerana tiada arah tuju selepas dihalau ibu telah menjadi viral di laman sosial hingga mencetuskan kemarahan orang ramai.
Mengikut laporan polis hanya dua payung, beg dan wang tunai RM70 didapati bersama empat kanak-kanak yang ditemui tersebut.
Bagaimanapun insiden yang berlaku Sabtu lalu ini akhirnya terungkai apabila ibu angkat kanak-kanak tersebut membuat laporan polis Ahad lalu, mendakwa empat anak angkatnya berusia dua hingga tujuh tahun itu yang melarikan diri dari rumah.
Memetik laporan Harian Metro, Ketua Polis Daerah Sibu Asisten Komisioner Mohd Kamal Kodri berkata, ibu angkat mangsa berusia 32 tahun yang tinggal di Taman Kristal, membuat laporan polis Ahad lalu memaklumkan empat anak angkatnya berusia dua hingga tujuh tahun tiada di rumah.
Menurut laporan ibu angkat tersebut, ketika kejadian wanita tersebut keluar sementara anak-anak angkatnya ditinggalkan di rumah, namun sebaik pulang dia mendapati mereka tiada di rumah dengan mangga kunci jeriji telah dipecahkan.
Bagaimanapun, wanita itu memaklumkan, ketika dia keluar, kesemua anak angkatnya ditinggalkan di rumah dengan jeriji dikunci dengan mangga.
Bagaimanapun, pelik juga mendengar laporan wanita tersebut kerana dia boleh dianggap begitu mudah meninggalkan kanak-kanak tersebut tanpa penjaga, meskipun semua keperluan makanan disediakan seperti didakwanya.
Ibu angkat tersebut turut memberitahu pihak polis yang tiga kanak-kanak berusia dua, enam dan tujuh tahun itu diambil sebagai anak angkat daripada saudaranya pada awal tahun lalu, manakala seorang lagi yang berusia tujuh tahun diambil sejak lahir.
Pendapat anda, siapakah yang memecahkan mangga kunci jeriji tersebut? Dan mengapa agaknya orang tersebut bertindak demikian?
Jika ada misteri yang belum terungkai, diharapkan pihak polis dapat menyiasatnya. – MYNEWSHUB.CC
Oleh : KAKAK BUNGA