ISLAMABAD – Hakim mahkamah khas antipengganas Pakistan, Syed Kausar Abbas Zaidi semalam mengeluarkan waran tangkap ke atas bekas pemain kriket antarabangsa negara itu, Imran Khan, 62 tahun, atas dakwaan menganjurkan protes antikerajaan secara ganas.
Perintah tangkapan itu turut melibatkan seorang ulama popular, Tahir ul Qadri dan 26 pemimpin parti pembangkang, Tehreek-e-Insaaf yang terbabit dalam insiden penawanan stesen televisyen pemerintah PTV bersama-sama 300 penyokong pada 1 September lalu.
Jurucakap mahkamah berkata, polis mengklasifikasi kes itu di bawah undang-undang antipengganas ekoran tindakan Imran mengetuai ratusan pengikutnya merempuh sekatan polis dan cuba menawan bangunan Parlimen serta menceroboh stesen TV rasmi negara.
Tindakan pemimpin pembangkang itu susulan siri bantahan selama beberapa minggu bagi mendesak pengunduran Perdana Menteri, Nawaz Sharif sehingga pada kemuncak lewat malam 31 Ogos lalu mereka menawan seketika stesen PTV bagi menutup operasi siarannya.
Imran memohon maaf ekoran insiden itu selepas rakaman stesen televisyen tempatan lain menunjukkan para penyokongnya bertindak biadap merampas dan meludah potret Nawaz di dinding pejabat selain menjerit emosi memaki hamun petugas studio berita PTV.
Peristiwa itu juga menyebabkan Tahir, 63 tahun, seorang tokoh agama yang dihormati di Pakistan bertindak menarik diri daripada menyertai siri bantahan berikutnya kerana enggan imejnya tercemar sebelum beliau melarikan diri untuk menetap di Kanada. – Agensi