Georgetown – Polis mengesahkan seorang lelaki berpendidikan setakat darjah empat yang menyamar sebagai ‘Inspektor Vijay’ sebelum ditahan di Bayan Baru, Sabtu lalu sudah mengikis wang dua wanita membabitkan RM38,000.
Dua hari sebelum kasanova terbabit ditahan, seorang wanita berusia 21 tahun yang bekerja sebagai jururawat membuat laporan polis selepas diugut teman lelakinya melalui telefon kerana mahu menyebarkan gambar dan video hubungan seks mereka di sebuah hotel, Oktober lalu.
Mangsa yang takut mencuri barang kemas milik emaknya lalu menggadaikan dengan nilai RM10,000 sebelum memberikan kepada lelaki terbabit bagi menutup mulutnya, namun kehilangan barang kemas itu disedari ibu mangsa dan dia mengaku melakukan perbuatan itu selepas diugut suspek.
Siasatan mendapati tiada rakaman atau gambar aksi seks diambil sebenarnya.
Pada jam 6.30 petang kelmarin pula, seorang jururawat berusia 28 tahun tampil membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut (IPDTL), di sini, dan mendakwa berkenalan dengan lelaki mengaku dirinya Inspektor Vijay bertugas di Cawangan Jenayah Berat (D9) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Polis (IPK) Pulau Pinang, beberapa bulan lalu. – myMetro Online