Jika anda penggemar sebuah filem sains fiksyen yang kritis, maka karya terbaru dari pengarah prolifik antarabangsa, Christopher Nolan tidak harus dilepaskan.
Padat dengan emosi dan kejutan sepanjang hampir tiga jam tayangan, garapan Nolan kali ini boleh dianggap yang terbaik selepas beliau tampil dengan filem blokbuster seperti The Dark Knight, The Dark Knight Rises dan Inception.
Naratif Interstellar dimulakan dengan latar masa di mana bumi sedang menuju kehancuran. Ketidaktentuan cuaca dunia membawa kepada kematian tumbuh-tumbuhan dan fenomena itu menyebabkan penduduk kekurangan makanan.
Watak utamanya, Cooper, bekas juruterbang NASA cekal meneruskan hidup sebagai seorang petani bersama-sama dua orang anak, Murphy dan Tom.
Plot mula berubah apabila Cooper bersama anak perempuannya, Murphy menemui lokasi di mana NASA sedang membuat kajian mencari satu planet baru untuk didiami.
Cooper kemudiannya dipilih menjadi pengemudi kapal angkasa ‘Endurance’ untuk menuju ke ‘blackhole’, Gargantua, di mana ia merupakan titik penghubung ke satu galaksi baru.
Walaupun tidak pasti sama ada dia mampu untuk pulang semula kepada keluarganya, Cooper terpaksa berkorban demi kelangsungan hidup manusia sejagat.
Namun, ketika menuju ke salah satu planet di ‘blackhole’, dia dan rakan-rakannya mendapat tahu bahawa tarikan graviti di situ akan mengakibatkan kelewatan masa; satu jam bersamaan tujuh tahun di bumi.
Maka, emosi akan mula terpancar apabila penantian anaknya, Murphy dan penduduk bumi lain memakan masa puluhan tahun sebelum Cooper berjaya keluar dari galaksi itu membawa perkhabaran baik.
Peranan watak Cooper didukung oleh pelakon hebat, Matthew McConaughey, manakala pelakon lain yang terlibat dalam filem ini adalah Anne Hathaway, Matt Damon dan Micheal Caine.
Apa yang boleh disimpulkan, ikatan antara seorang bapa dan anak perempuannya menjadi nadi dalam filem ini, terutamanya pada penghujung cerita.
Pastinya, buah tangan terbaru Nolan ini bukanlah filem yang berstruktur logik kerana ia merupakan sebuah karya yang mengaitkan banyak terma sains dan galaksi.
Buat pencinta filem yang dahagakan jalan cerita ‘luar dari kotak’, anda tidak harus ketinggalan untuk menyaksikan Interstellar! - MYNEWSHUB.CC
Oleh : IZZAT MOHD ANUAR