HULU TERENGGANU – Jenazah pelajar yang hilang sewaktu menyertai perlumbaan maraton di Hutan Lipur Sekayu, Kuala Berang dan ditemui meninggal dunia kemudiannya, selamat dikebumikan awal pagi tadi.
Jenazah Ahmad Rafikin Azman, 16, pelajar Sekolah Menengah Sains Sultan Mahmud, Kuala Terengganu dikebumikan kira-kira pukul 1.30 pagi di Tanah Perkuburan Islam Jalan Pusara di Kuala Berang di sini.
Suasana pilu menyelubungi semasa pengkebumian diadakan.
Terdahulu jenazah dimandi dan dikafan di Hospital Hulu Terengganu sebelum disembahyangkan di Masjid Jalan Pusara yang turut dihadiri Menteri Besar Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman.
Ahmad Rafikin dilaporkan hilang Sabtu lalu setelah tidak menamatkan perlumbaan Maraton Gunung Gajah Terom sebelum bapanya Azman Othman membuat laporan polis pada hari yang sama.
Mayat pelajar Tingkatan Empat itu ditemui pasukan mencari dan menyelamat kira-kira jam 3.30 petang semalam di celah batu tidak jauh dari trek perlumbaan.
Walaupun merasa sedih, namun Azman bersyukur kerana anaknya dapat ditemui walaupun bukan dalam keadaan yang diharapkannya.
“Kami sekeluarga bersyukur dapat kembali anak kami dan apa yang terjadi, kami redha dengan takdir Ilahi. Terima kasih pada semua pihak yang terlibat sepanjang empat hari pencarian sehingga semuanya selesai dengan selamat,” katanya kepada pemberita selepas majlis pengkebumian jenazah anak bongsunya dari tiga beradik itu. – BERNAMA