Biarpun selepas dibangkitkan Presiden UMNO Datuk Seri Najib Tun Razak dalam ucapan dasarnya semalam, hari ini tidak ramai perwakilan UMNO yang berbahas mengambil perihal JIL-UMNO yang dicadangkan menjadi kriteria anak muda yang bakal menjadi pemimpin parti.
Pengerusi Biro IPT Pergerakan Pemuda UMNO Ustaz Fathul Bari Mat Jahya berkata perkataan JIL itu dalam bahasa Arab bermaksud generasi dan dalam konteks UMNO ia bermaksud generasi muda atau pelapis UMNO.
“Jillun dalam bahasa Arab bermaksud generasi, jadi kita bercakap soal generasi UMNO.. Bila sebut generasi kita akan faham, generasi bila? generasi yang akan datang.
“Generasi pewaris kepada UMNO itu sendiri, kita perlu mereka yang ada ilmu pengetahuan mereka, mereka ada integriti, mereka ada sifat glokal di samping mereka berada di luar sana, belajar di luar negara tetapi mereka masih memahami bahawa mereka merupakan rakyat dalam negara ini,” katanya kepada Mynewshub.cc hari ini.
Beliau berkata kenyataan Najib berkenaan JIL-UMNO itu merupakan rentetan daripada pelbagai cadangan untuk melakukan proses peremajaan UMNO supaya bersifat lebih aktif demi perjuangan bangsa.
“JIL-UMNO itu adalah satu indikator bagi memastikan peremajaan parti itu berlaku dengan baik, indikasi ini meletakkan tiga perkara asas sahaja iaitu berilmu, berintegriti dan juga bersifat glokal.
http://youtu.be/7C0tz7bxRp0
“Tiga perkara asas ini saya kira satu asas untuk membuktikan kemampuan Pemuda orang yang muda usianya menjadi pemimpin di dalam parti,” katanya.
Menurut Fathul Bari, penglibatan anak muda untuk menjadi pemimpin dalam UMNO memerlukan persediaan dan JIL-UMNO ialah panduan untuk melakukan persediaan berkenaan.
“Bercakap soal peremajaan tanpa ada indikasinya tanpa ada piawaiannya saya kira itu tidak adil bagi pihak atasan, juga pihak atasan tidak membuka ruang tutup terus juga tidak adil, keseimbangan ini perlu ada,” katanya.
Fathul Bari ditemui selepas beliau bersama tiga Naib Presiden UMNO; Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal bertemu dengan mahasiswa Kelab UMNO Luar Negara di bilik Kuala Lumpur di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini.
Pertemuan itu diadakan sempena Perhimpunan Agung UMNO 2014 yang sedang berlangsung sehingga esok di PWTC yang menjadi lokasi perhimpunan tradisi parti terbesar Melayu itu.
Menurut Najib dalam ucapan dasarnya itu, JIL-UMNO adalah generasi pemimpin baru yang penuh berkualiti dan kuat dari segala segi.
“JIL-UMNO atau pewaris kepimpinan yang kita dambakan adalah generasi yang kuat sebagai bunga-bunga bangsa, bukannya zuriat yang lemah seperti buih-buih di samudera.
“Barulah nanti kita mampu bernafas dengan lepas dan lega bila diserahkan parti ini pada mereka kelak,” kata Najib dalam ucapannya semalam. – MYNEWSHUB.CC
Oleh : IBNU K | Foto dan Video : RIZA RAZAKÂÂ