KOTA BHARU – Jumlah mangsa banjir di tiga pusat pemindahan di sini dan Pasir Puteh meningkat kepada 155 orang pagi ini berbanding 130 orang semalam.
Menurut portal rasmi kerajaan negeri, 96 orang ditempatkan di Sekolah Kebangsaan (SK) Mulong dan 34 mangsa ditempatkan di SK Tiong di daerah ini manakala di Pasir Puteh pula, 25 orang ditempatkan di SK Wakaf Raja.
Bacaan air di Sungai Golok di Rantau Panjang pada 8 pagi ini menurun sedikit daripada paras amaran iaitu daripada 9.05 meter malam tadi kepada 8.79 meter (bahaya 9 meter).
Sungai lain masih belum mencecah paras amaran dan tiada jalan utama ditutup.
Cuaca di Kelantan pagi ini cerah dan tiada hujan. – BERNAMA