PUTRAJAYA – Persefahaman di antara karyawan filem dan Lembaga Penapis Filem (LPF) perlu ditingkatkan supaya kedua-dua pihak dapat bekerjasama dengan lebih berkesan.
Menegaskan demikian, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata untuk itu karyawan seni hendaklah menyedari bahawa LPF mempunyai garis panduan yang perlu dipatuhi (dalam melakukan penapisan filem).
“Pada waktu yang sama LPF harus tahu susah-payah para pengeluar filem menghasilkan karya masing-masing dan (LPF) tidak sewenang-wenangnya memotong babak,” katanya.
Ahmad Zahid bercakap pada sidang media selepas merasmikan Karnival 60 Tahun LPF di sini, hari ini.
Beliau menjelaskan karnival itu bertujuan meningkatkan kesedaran orang ramai khususnya penonton filem bahawa LPF ada tanggungjawab dari segi sosial, agama dan perundangan dalam meluluskan tayangan sesebuah produksi kreatif.
Ahmad Zahid berkata kajian semula mengenai garis panduan penapisan filem adalah berdasarkan keperluan dan situasi semasa.
Ditanya mengenai filem ‘The New Village’ yang ditangguh tayangannya pada Julai 2013, beliau menjelaskan setakat ini LPF belum buat keputusan muktamad mengenai perkara itu.
“Tapi kajian LPF mendapati memang ada unsur-unsur tersembunyi dalam dialog yang pada hemat mereka tidak sesuai untuk dipertontonkan,” katanya.
Laporan media sebelum ini menyebut ‘The New Village’ mengandungi unsur-unsur yang memperjuangkan komunis.
KDN kini meneliti semula kandungan filem itu, kata Ahmad Zahid.
Berhubung filem yang ditayangkan di Youtube, beliau berkata, KDN akan bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) untuk bangunkan ‘firewall’ bagi menentukan garis panduan LPF dipatuhi. – BERNAMA