Transparency International-Malaysia (TI-M) menggesa pihak bertanggungjawab supaya membela nasib golongan kanak-kanak dan wanita kaum Penan yang didakwa sudah bertahun-tahun jadi mangsa nafsu serakah pekerja industri pembalakan.
Seruan itu disuarakan organisasi bukan kerajaan antirasuah, setelah Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem berjanji untuk menamatkan amalan rasuah membabitkan taikun balak di sana.
Melalui satu kenyataan, presidennya, Datuk Akhbar Satar berkata, walaupun tindakan tegas ketua menteri itu terhadap syarikat pembalakan dipuji, namun beliau harus juga memandang isu penderaan seksual yang dihadapi kaum Penan.
“Perlu ada resolusi ke atas penderaan seksual yang telah berlaku sejak bertahun-tahun lalu dan pernah singgah di fikiran ramai.
Kira-kira 16,000 kaum Penan, di mana 200 orang masih lagi menjalani cara kehidupan nomad,” ujar beliau.
Tambahnya, masyarakat tersebut pernah mendapat perhatian apabila mereka menentang operasi pembalakan di kawasan kediaman mereka yang meliputi Baram, Limbang, Lawas dan Tutoh di Sarawak.
Jelas Akhbar, perjuangan kaum Penan telah bermula semenjak 1960-an lagi apabila kawasan-kawasan di pedalaman Sarawak diteroka untuk tujuan pembalakan komersil.
Pada tahun 2000, wakil penduduk Penan pernah membuat aduan kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) berkenaan isu rogol melibatkan kaum Penan.
Namun kes rogol dikatakan berlanjutan hingga kini walaupun laporan direkodkan tentang salah laku pekerja pembalakan. – MYNEWSHUB.CC