KUALA TERENGGANU- Berkat Nazri Nazir Enterprise, pengeluar keropok lekor terkenal di Bukit Tok Beng di sini, menyasarkan jualan tahunan RM3 juta menjelang 2016 berbanding sekitar RM1.8 juta sekarang.
Pemiliknya Mohd Nazir Mohd Dagang berkata ketika ini purata jualan bulanan adalah sekitar RM150,000 atau RM5,000 sehari dan meningkat sekali ganda ketika musim cuti persekolahan.
“Kelebihan kami selain menggunakan resipi warisan keluarga, keropok dimasak menggunakan kayu api bagi mengekalkan keaslian dan memberi aroma unik keropok keluaran kami,” katanya di sini.
Ketika ini syarikat yang mempunyai 50 pekerja dalam kalangan penduduk setempat, memproses 500 hingga 1,000 kilogram isi ikan setiap hari bagi menghasilkan keropok lekor bermutu.
Mula beroperasi 5 Mei 2005, perusahaan itu terkenal dalam kalangan penggemar keropok lekor bukan saja kerana keenakan produk tetapi juga kerana pelanggan perlu mengambil nombor giliran untuk membeli makanan tradisi Terengganu itu.
Mohd Nazir berkata, idea itu timbul selepas berasa kasihan melihat pelanggan terutama ibu mengandung, warga emas dan kanak-kanak yang terpaksa menunggu lama untuk membeli keropok lekor.
“Jadi, setelah mereka mengambil nombor giliran dan membuat tempahan awal, mereka bebas pergi ke mana saja sementara kami menyiapkan tempahan dan cara ini memang disukai ramai pelanggan terutama pelancong kerana lebih praktikal dan sistematik,” katanya.
Mohd Nazir berkata sejak tiga tahun lalu beliau memperkenalkan keropok lekor berperisa iaitu perisa keju, lada hitam dan bawang bersama keju dalam usaha memenuhi cita rasa pelanggan.
Memiliki sijil halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia dan kebersihan yang diiktiraf Jabatan Kesihatan Terengganu, syarikat itu bakal menjadi ikon pelancongan daerah.
“Ini masih di peringkat perbincangan awal dengan kerajaan negeri,” katanya.
Untuk rancangan masa depan, Mohd Nazir berkata beliau berhasrat mengorak langkah lebih jauh dalam industri makanan sejuk beku bagi melebarkan pasaran keropok lekornya. – BERNAMA