Baru selesai satu kes buli membabitkan seorang wanita dan si pembuli, Khoo Koo Ann, 58, di Subang Jaya, kini muncul pula kes terbaru!
Kali ini, membabitkan seorang wanita dan pemandu teksi.
Kes dikatakan berlaku ketika mangsa sedang memandu dari Bandar Manjalara ke Jalan Raja Chulan melalui Jalang Angsoka, kira-kira jam 7.40 pagi, Isnin lalu.
Dakwa mangsa, ketika melalui satu lorong, laluannya terhalang oleh dua buah kenderaan yang diparkir di kiri dan kanan jalan. Ketika itu, dia menyedari bahawa dia sedang berhadapan dengan seorang pemandu teksi yang datang dari arah bertentangan.
Ujarnya, pemandu tersebut membunyikan hon beberapa kali kepadanya untuk meminta diberikan laluan namun dia tidak mengendahkannya lantas, pemandu teksi tersebut melanggar sisi depan keretanya.
“Pemandu tersebut kemudiannya keluar dan mendekati kereta saya lalu menampar muka saya di bahagian kanan dan kiri pipi. Saya cuba melawan kembali namun gagal kerana dia seorang lelaki.
“Saya terpaksa menahan kesakitan di bahagian pipi kanan kerana bukan sahaja ditampar, malahan juga dipicit,” dakwa mangsa yang  juga terpaksa menanggung kerugian akibat kerosakan keretanya kerana dilanggar pemandu teksi tersebut.
Aduh! Masih tak sudah-sudah dengan isu pembuli di jalan raya. Mungkin lepas ini, pihak berkuasa perlu menggariskan peraturan terbaru sebelum mendapat lesen iaitu kelas belajar tentang kesedaran sivik, toleransi dan hormat-menghormati! – MYNEWSHUB.CC
Oleh : IZZAT MOHD ANUAR