PARIS – Seorang model glamour yang digelar Kim Kardashian Perancis, Nabilla Benattia, telah ditahan atas tuduhan cuba membunuh teman lelakinya yang juga bintang realiti TV, Thomas Vergara susulan satu pergaduhan antara mereka.
Benattia ditahan polis selepas Vergara ditemui dengan kesan tikaman di bahagian leher dan dada.
Dia dikatakan berada dalam keadaan serius di Hospital Georges Pompidou dan dalam masa sama, Benattia juga dilaporkan berada dalam keadaan terkejut.
Model berkenaan pada asalnya ditahan atas dakwaan melakukan serangan namun selepas pendakwaraya melihat keadaan luka pada Vergara maka tuduhan itu ditukar kepada cubaan membunuh.
Menurut polis, pihaknya dipanggil ke sebuah bilik hotel pada 2.30 pagi selepas mendapat laporan daripada staf hotel tersebut mengenai satu pergaduhan.
Benattia sebelum itu dikatakan menghubungi hotel memaklumkan dia dan teman lelakinya diserang oleh tiga lelaki di luar hotel mereka.
Namun siasatan terhadap rakaman CCTV di situ tidak menunjukkan kejadian serangan itu dan Vergara juga tidak dirakamkan mengalami kecederaan di luar hotel.
Pisau yang digunakan untuk menikam Vergara dilaporkan telah dibersihkan dan dilempar keluar dari bilik hotel.
Meskipun Vergara memaklumkan kepada polis bahawa dia tidak mahu mengenakan apa-apa tuduhan ke atas Benattia, namun Vergara akan tetap dipanggil untuk memberikan keterangan terhadap kekasihnya itu.
Dalam pada itu, Benattia, yang menafikan tuduhan berkenaan boleh ditahan hingga 48 jam.
Pasangan itu mencipta nama di Perancis selepas kedua-duanya muncul dalam rancangan ‘The Reality TV Angels’.