Memandangkan hutang membeli kenderaan merupakan hutang kedua tertinggi yang dideritai oleh anak muda hingga menyebabkan ada golongan itu yang berusia 35 tahun ke bawah diisytihar muflis, Skim Kenderaan Pertamaku diusulkan Pergerakan Pemuda UMNO.
Usul yang disambut sorakan 992 orang perwakilan itu dicadangkan oleh Ketuanya Khairy Jamaluddin ketika menyampaikan ucapan dasar pada Perhimpunan Agung Pemuda UMNO di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini.
Menurut beliau, skim berkenaan dikhususkan kepada golongan muda yang mahu membeli kenderaan untuk pertama kali.
“Kita tahu ramai orang muda yang muflis kerana gagal bayar hutang kenderaan. Hutang pinjaman kenderaan adalah yang kedua tertinggi.. setinggi 18 peratus selepas hutang beli hartanah.
“Ramak anak muda bawah 35 tahun jadi muflis, mana tidaknya.. nak beli kereta di Malaysia nak kena bayar 36 kali gaji bulanan, di negara maju hanya 12 kali ganda,” kata Khairy yang juga Menteri Belia dan Sukan.
Beliau berkata sudah tiba masanya, satu inisiatif diwujudkan untuk membantu golongan muda membeli kenderaan sekaligus meringankan beban hutang.
“Sudah terang lagi bersuluh, kita perlukan satu inisiatif untuk membantu anak muda membeli kenderaan, meringankan beban hutang dan harap-harap dijauhi dari sumpahan muflis.
“Mengambil kira perkara ini, Pemuda pada pagi ini mengusulkan kepada kerajaan ‘Skim Kenderaan Pertamaku’ di mana anak muda yang berpendapatan kurang RM4,000 sebulan boleh beli kenderaan pertama mereka tanpa membayar cukai atau duti eksais,” katanya.
Menurut beliau, kemudahan itu akan mengurangkan harga kenderaan khas untuk anak muda yang membeli kenderaan buat kali pertama sahaja.
“Kenderaan yang dibenar beli biarlah yang berharga sederhana dan dipasang di dalam negara,” katanya.
Khairy menolak cakap-cakap nakal bahawa cadangan skim itu dicedok daripada idea pembangkang, sebaliknyaĆāĆĀ berkata inisiatif oleh Pemuda UMNO itu berbeza sama sekali dengan apa yang pernah dituturkan lidah Pakatan Rakyat (PR).
“Sebelum ada yang kata, ‘macam pernah dengar sahaja idea ini’.. ‘Bukankah ia idea dari pihak lawan?’.. saya nak jelaskan ini bukan seperti pihak lawan telah cadangkan iaitu satu dasar populis potongan cukai untuk semua pembeli kenderaan.
“Ia akan menambah hutang kerajaan, menambah kesesakan jalan raya, merosakkan alam sekitar dan memberi diskaun kepada orang kaya,” kata Khairy.
Hari ini bermula Perhimpunan Agung tiga sayap UMNO iaitu Pemuda, Wanita dan Puteri di PWTC.
Sejumlah 993 perwakilan akan menghadiri perhimpunan agung wanita yang akan berbahas mengenai isu keselamatan, keamanan dan perpaduan negara manakala 992 perwakilan Pemuda akan membahaskan isu keputusan Mahkamah Rayuan berhubung kes lelaki berpakaian wanita, isu perumahan di kalangan belia, serta transformasi parti.
Perhimpunan tahunan Puteri Umno dengan 991 perwakilan akan memfokuskan isu pengangguran di kalangan generasi muda sebagai usul utama. – MYNEWSHUB.CC
Oleh : IBNU KĆāĆĀ