KUALA LUMPUR – Dewan Filharmonik Petronas, DFP terus-terusan menyajikan hiburan terbaik secara eksklusif di dewan berprestij terletak di pusat membeli-belah Kuala Lumpur City Centre (KLCC) itu.
Malam ini Dayang Nurfaizah akan menghiburkan peminat beliau.
Dua tahun lalu Dayang pernah berkongsi pentas di lokasi yang sama bersama Anuar Zain, kini beliau tampil solo sekali gus meraikan usia 15 tahun pembabitannya di arena seni.
Lebih menarik tiket menyaksikan persembahan beliau habis dijual beberapa hari sebelum konsert berlangsung.
“Dayang bersyukur sangat kerana tiket habis disambar peminat. Ia satu penghargaan buat Dayang untuk terus memberikan yang terbaik buat mereka yang tak pernah putus menyokong. Pada masa yang sama ia juga tekanan besar untuk memberikan yang terbaik buat mereka.
“Dayang dimaklumkan ada yang datang dari luar Kuala Lumpur termasuk dari tempat Dayang dilahirkan iaitu Kuching, Sarawak. Terima kasih juga buat DFP atas peluang berharga ini. Jumpa malam ini buat yang sudah membeli tiket,” katanya kepada BH Online.
Menurut Dayang, beliau akan mengimbau nostalgia dari awalan kerjaya seninya hingga saat ini. Semestinya lagu Seandainya Masih Ada Cinta (SMAC) yang mula meledakkan namanya di persada seni akan dinyanyikan buat peminat tersayang.
Persembahan beliau bakal diiringi oleh pemuzik hebat di bawah pimpinan Jenny Chin.
“Persembahan ini dalam sejam lebih. Dayang akan menyanyikan dalam 22 buah lagu. Peminat pastinya akan mendengar lagu daripada yang diberi susunan baru termasuklah lagu SMAC yang memainkan peranan besar dalam kerjaya seni ini. Itu lagu wajib.
“Istimewanya kebanyakan lagu yang bakal dinyanyikan malam ini dipilih sendiri oleh peminat. Hanya dalam satu dua saja pilihan peribadi Dayang,” katanya.
Dalam pada itu, 5 November ini DFP akan mempersembahkan MPO Happy Hour bermula jam 6.30 petang. Bertemakan Mutan, konsert ini akan menyaksikan kerjasama pemuzik dari Orkestra Filharmonik Malaysia (MPO) yang akan diketuai Marques Young.
Antara artis tempatan yang akan terbabit seperti Najwa Mahiaddin, Hunny Madu, Kayda selain Darren Ashley, Pure Energy Productions, DJ Biggie dan Bassment Syndicate. Konsert ini dijangka berlangsung selama sejam dengan tiket berharga RM30.
Untuk tempahan tiket boleh menghubungi Box Office di talian 03-20517007 atau faksimili ke 03-20517077. Layari juga laman sesawang www.mpo.com.my. – BH Online