SEOUL – Tahun ini ia hanya kira-kira 650,000 pelajar, tidak banyak beza berbanding tahun lalu, namun kesannya amat besar apabila aktiviti lebih 50 juta warga Korea Selatan terhenti seketika gara-gara peperiksaan tahunan terbesar yang berlangsung serentak hari ini.
Ironi meskipun cuma peperiksaan biasa bagi pelajar kolej berusia 17 tahun untuk layak masuk universiti sesi tahun berikutnya, tetapi lulus atau gagal dalam ujian dianggap paling susah itu seumpama bakal mengubah nasib hidup seseorang pada masa akan datang.
Bayangkanlah pelajar yang lulus dalam peperiksaan amat sukar itu akan dianggap ada masa depan cerah kerana bakal diterima masuk universiti elit di Korea Selatan selain jaminan kerjaya dengan firma terkemuka malah berkahwin dengan pasangan yang dihormati.
Tinjauan agensi berita rasmi Korea Selatan, Yonhap mendapati, suasana di seluruh negara senyap sunyi sejurus peperiksaan bermula 8.40 pagi (atau 7.40 pagi waktu Malaysia) di 1,257 pusat peperiksaan seolah-olah masa yang bergerak tiba-tiba berhenti putarannya.
Kementerian Pengangkutan bahkan ‘haram’ semua pendaratan dan perlepasan pesawat di lapangan terbang selama 40 minit ujian itu bermula manakala Kementerian Pertahanan terpaksa jadual semula latihan menembak di kem askar untuk elak bunyi bising.
Trafik juga dilarang memasuki jarak 200 meter dari pusat peperiksaan selain semua pejabat kerajaan dan premis perniagaan termasuk bursa saham Seoul dibuka sejam lewat bagi memastikan ibu bapa sempat menghantar anak mereka masuk ke dewan ujian.
Pihak berkuasa juga menyedia perkhidmatan kecemasan khas untuk pelajar atau ibu bapa yang terperangkap dalam kesesakan jalan raya dengan bantuan kereta peronda atau motosikal berkuasa besar polis akan iringi mereka tiba di tempat peperiksaan. – Agensi