Bukit Mertajam – Sebuah premis dua tingkat dijadikan pusat mengumpul, membungkus dan mengedar barangan tiruan di Air Hitam, Georgetown diserbu pegawai Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Pulau Pinang, 12.10 tengah hari semalam.
Ketua Pegawai Penguat Kuasa negeri Suhaimi Mat Sari berkata, rampasan membabitkan topi, baju dan beg berjenama dianggarkan bernilai RM110,000.
Beliau berkata, barangan jenama Nike, Levi’s, Lacostes, Adidas dan New Era itu diimport dari China sebelum diedarkan untuk pasaran tempatan.
“Serbuan dijalankan selepas kami mendapat maklumat berhubung aktiviti pengedaran barangan berjenama tiruan berlaku di premis berkenaan.
“Barangan ini dijual di pasar malam, pasar sehari dan gerai di tepi jalan kerana harganya yang jauh lebih murah berbanding produk dibekalkan pengeluar sebenar,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Perihal Dagangan 2011. – myMetro Online