KUALA LUMPUR – Pertubuhan ‘Lawyers for Liberty’ menyelar Mufti Perak, Angkatan Belia Islam (ABIM), Dewan Ulama PAS Malaysia dan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom kerana mempertahankan enakmen agama Islam Negeri Sembilan berhubung kesalahan lelaki berpakaian wanita.
Pengarah Eksekutifnya, Eric Paulsen mendakwa, tindakan keempat-empat pihak tesebut mempertahankan enakmen agama Islam tersebut satu retorik agama yang melampau ke atas golongan transgender.
“Antara kenyataan mereka “mencabar undang-undang Tuhan” oleh Mufti Perak, “gerakan transgender telah menjadi barah” (ABIM), “panggilan jihad” (Dewan Ulama PAS Malaysia) dan “pertahankan Islam” (Jamil Khir).
“Sangat memeranjatkan pihak berkuasa dan organisasi terbabit memberi respons tidak bertanggungjawab secara berlebihan dan tidak terkawal dengan isu emosi ke atas masyarakat (transgender) yang paling lemah di Malaysia,” dakwanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Eric mendakwa, kenyataan empat pihak tersebut bakal memberi inspirasi ke atas jenayah kebencian ke atas golongan transgender seperti yang berlaku di Pakistan, India dan Myanmar.
Beliau mendakwa, enakmen agama Islam Negeri Sembilan hanya satu enakmen negeri yang tidak perlu dituruti oleh Perlembagaan Persekutuan.
Justeru, beliau mengucapkan tahniah kepada Mahkamah Rayuan kerana melindungi hak masyarakat transgender untuk menikmati kebebasan hidup mereka.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom kelmarin menggesa pihak berkuasa agama negeri diminta membuat rayuan kepada Mahkamah Persekutuan.
Ia berikutan keputusan Mahkamah Rayuan mengisytiharkan peruntukan enakmen agama Islam Negeri Sembilan yang menghalang lelaki Islam berpakaian dan berkelakuan seperti wanita tidak sah berdasarkan Perlembagaan Negara.
Media kelmarin melaporkan Mahkamah Rayuan dalam satu keputusan penting mengisytiharkan sebagai tidak sah ketetapan Undang-Undang Syariah Negeri Sembilan bahawa lelaki Islam berpakaian seperti wanita adalah perbuatan jenayah.
Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan yang dikemukakan oleh tiga jurumekap pengantin, Muhamad Juzaili Mohamad Khamis; 26, Syukor Jani; 28, dan Wan Fairol Wan Ismail; 30, untuk mengisytiharkan Seksyen 66 Enakmen Jenayah Syariah Negeri Sembilan 1992 bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.
Panel tiga hakim dipengerusikan Hakim Datuk Mohd Hishamudin Mohd Yunus, memutuskan Seksyen 66 Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Sembilan) 1992 adalah tidak sah di sisi perlembagaan kerana ia mendiskriminasi lelaki Islam yang menghidapi masalah identiti gender (GID) dari segi perubatan.